Anda di sini

Kerajaan negeri komited bantu misi, visi PVATM Sabah

Advertisement
 Nizam (dua kiri) ketika melancarkan majalah PVATM Tawau, hari ini.
PELANCARAN: Nizam (dua kiri) ketika melancarkan majalah PVATM Tawau, hari ini.

TAWAU: Kerajaan negeri komited dalam membantu misi dan visi Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Sabah bagi membela kebajikan setiap ahlinya.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, PVATM Sabah diminta menggunakan saluran yang betul untuk memohon bantuan dan peruntukan daripada kerajaan.

Katanya, PVATM Sabah perlu menyatakan permohonan untuk dibawa keperhatian kerajaan negeri supaya Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor boleh memberi pertimbangan sewajarnya.

“Saya melihat masih banyak lagi PVATM Sabah perlu mohon kepada pihak kerajaan supaya kebajikan ahli terutamanya yang memerlukan dapat diberikan.

“PVATM Sabah juga boleh memohon kepada Ketua Menteri mengenai hasrat untuk memiliki bangunan pejabat sendiri di negeri ini,katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung PVATM Cawangan Tawau Kali Ke-32, di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui.

Menurutnya, semua pesara tentera digesa supaya mendaftar sebagai ahli PVATM Sabah bagi memudahkan bantuan kerajaan dapat disalurkan kepada mereka.

“Peruntukan yang akan diberikan oleh kerajaan sudah pasti melalui persatuan kerana mereka yang lebih tahu keberadaan dan keperluan setiap pesara.

“Justeru, saya sangat menggalakkan pesara tentera yang belum mendaftar supaya segera berbuat demikian bagi mengelak keciciran bantuan disalurkan kelak,katanya.

 Nizam bersama ahli PVATM yang hadir dalam mesyuarat tersebut.
HADIR: Nizam bersama ahli PVATM yang hadir dalam mesyuarat tersebut.

Sementara itu, Nizam sangat berbangga kerana PVATM Cawangan Tawau berjaya melancarkan majalah mereka sendiri.

“Majalah ini sangat bermakna kerana ia menggambarkan perkembangan aktiviti-aktiviti PVATM Tawau sepanjang dua tahun yang lepas.

“Saya merasakan adalah wajar detik-detik indah ini dikenang dan diabadikan sebagai satu memori untuk dijadikan azimat perjuangan Ahli Jawatankuasa baharu pada masa akan datang,” katanya.

Ketua PVATM Tawau Julaydi Mattuju pula berkata, majalah yang lancarkan itu diharap dapat menjadi satu solusi supaya masyarakat dapat melihat aktiviti yang dilaksanakan oleh persatuan.

“Kita mengharapkan wakil rakyat dan agensi kerajaan mahupun swasta tampil membantu veteran yang telah berbakti kepada negara ketika dalam perkhidmatan dahulu.

PVATM Tawau akan sentiasa menjejaki seberapa ramai lagi pesara tentera supaya mereka boleh didaftarkan dalam persatuan dan mendapat bantuan kerajaan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement