Anda di sini

Jenazah Pendaki Misi Malaysia Everest selamat tiba di Kota Kinabalu

Advertisement
 Armizan (tiga kiri), Mohamad (kiri) ketika hadir menyambut ketibaan jenazah Ag Askandar.
TIBA: Armizan (tiga kiri), Mohamad (kiri) ketika hadir menyambut ketibaan jenazah Ag Askandar.

KOTA KINABALU: Jenazah Pendaki Misi Malaysia Everest, Ag Askandar Ampuan Yaacub selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, petang tadi.

Jenazah Ag Askandar yang merupakan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah tiba pada jam 2.15 petang melalui penerbangan Malaysia Airlines MH 2646 daripada Kuala Lumpur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, semua urusan penghantaran itu telah diselaraskan oleh Kedutaan Malaysia di Nepal.

“Jenazah diterbangkan dari Kathmandu menggunakan pesawat MH115 pada jam 11.30 malam dan tiba di Kuala Lumpur, pada jam 6.25 pagi tadi.

“Jenazah kemudian dibawa balik ke Kota Kinabalu dengan menaiki pesawat MH2646 dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 2.15 petang,”katanya.

Menurutnya, atas permintaan ahli keluarga, jenazah dibawa ke kediaman mereka di Kampung Benoni, Papar, sebelum solat jenazah dilakukan di Masjid Jamek As-Salam Benoni.

“Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Benoni untuk disemadikan mengikut upacara istiadat penghormatan APM,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan media berkata, ketibaan jenazah di KKIA disambut oleh Timbalan Menteri Luar Negeri, Mohamad Alamin bersama pegawai dari Pejabat Wilayah Sabah dan Bahagian Konsular, Kementerian Luar Negeri.

Katanya, Kementerian Luar Negeri menyampaikan salam takziah kepada keluarga Allahyarham dan berdoa agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

“Kementerian juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Nepal, pihak berkuasa tempatan Nepal, penyumbang dana dan semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan bantuan dalam urusan membawa pulang jenazah sehingga ke tempat persemadian terakhir di Sabah,”katanya.

  • oleh
  • Advertisement