Anda di sini

Wanita mengaku tidak bersalah dera anak perempuan

Advertisement
 Tertuduh (kanan) diiringi polis keluar dari kamar mahkamah selepas selesai prosiding kes hari ini.
NAFI: Tertuduh (kanan) diiringi polis keluar dari kamar mahkamah selepas selesai prosiding kes hari ini.

KUCHING: Seorang penganggur wanita mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan mendera anak perempuannya yang berusia 10 tahun sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal, minggu lalu.

Hakim Afidah Abdul Rahman membenarkan tertuduh, Safina John, 27, untuk diberikan ikat jamin RM15,000 tunai berserta dua penjamin tempatan.

Afidah juga menetapkan pengurusan kes pada 3 Julai ini bagi tertuduh mendapatkan khidmat nasihat peguam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016) (Akta 611) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 19 Mei lalu, sekitar jam 8 malam di sebuah flat di Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu Gong di sini. 

Difahamkan, laporan polis dibuat oleh jiran tertuduh setelah dikatakan mendengar bunyi mencurigakan dari rumah tertuduh. 

Selain itu, difahamkan mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian belakang badan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. 

Terdahulu semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Iezzah Iburdanisha Ibrahim menawarkan ikat jamin RM20,000 tunai kepada tertuduh dan syarat-syarat tambahan iaitu tidak boleh menghampiri mangsa yang kini berada di bawah jagaan bapanya (suami tertuduh) sehingga kes selesai, selain melaporkan diri ke balai polis berdekatan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar jaminan dikurangkan kerana dia tidak bekerja dan tidak mempunyai penjamin.

Advertisement