Anda di sini

WAGGGS latih ahli PPPM perkasa kepimpinan, bawa perubahan positif kehidupan

Advertisement
Utusan Borneo
Utusan Borneo

KOTA KINABALU: Program World Association of Girl Guides and Girl Scouts (WAGGGS) melatih ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Sabah memperkasa kepimpinan untuk bekerjasama dan membawa perubahan positif dalam kehidupan peribadi serta komuniti.

Pengerusi Penganjur selaku Pesuruhjaya Ibu Pejabat negeri Bahagian Program Tracie Chong berkata Program WAGGGS sudah dijalankan sejak sekian lama dengan pengisian pelbagai aktiviti bermanfaat bukan sahaja kepada ahli malah masyarakat setempat di seluruh dunia.

“Program WAGGGS wajar dilaksanakan berikutan aktivitinya bersesuaian dengan peringkat umur dan tahap ahli PPPM termasuk pemimpin. 

“Peserta didedahkan dengan kesedaran tentang keyakinan diri, kemahiran berkomunikasi semasa sesi dalam talian, menangani keganasan terhadap kanak-kanak, remaja perempuan selain peka dengan isu semasa.

“Program juga melatih ahli untuk berani bersuara dalam isu-isu kesaksamaan gender, membantu dan memberi kesedaran kepada orang sekeliling dalam menghadapi masalah selain menggalakkan ahli melakukan aktiviti sokongan untuk memperbaiki kehidupan seharian,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata program yang memberikan manfaat ini termasuk program Free Being Me  Surf Smart, Hentikan Keganasan dan Leadership Mindset akan berlangsung sehingga 28 Mei depan di Dewan PRIDE Wisma pandu Puteri Jalan Tuaran.

Katanya seramai 50 peserta dijangka hadir yang terdiri daripada guru yang juga pemimpin PPPM dari beberapa sekolah menengah dan rendah di sekitar Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud, Papar serta daerah lain.

Bercakap lanjut beliau berkata intipati program secara langsung memberi fokus untuk memperkasa keyakinan serta jati diri dari peringkat kanak-kanak dan remaja seterusnya kaedah menghadapi tekanan sosial dan galakkan untuk bersuara dan membuat perubahan dalam komuniti setempat.

“Dalam era teknologi yang berkembang pesat, kita juga membantu golongan muda berhubung secara positif di dalam talian serta bagaimana melindungi diri daripada ancaman dalam talian dan menghormati hak serta reputasi dalam internet. 

“Golongan wanita juga perlu dilindungi dengan pendedahan menangani keganasan terhadap kanak-kanak dan remaja perempuan serta wanita dalam komuniti melalui program dan aktiviti sokongan, pendidikan, tindakan komuniti dan penyelidikan untuk meningkatkan kesedaran,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement