Anda di sini

Uggah mahu Projek IAC Limbang disiapkan segera 

Advertisement
(Dari tiga kiri) Paulus, Dr Abdul Rahman, Uggah serta yang lain ketika melawat Projek IAC Limbang, hari ini.
(Dari tiga kiri) Paulus, Dr Abdul Rahman, Uggah serta yang lain ketika melawat Projek IAC Limbang, hari ini.

LIMBANG: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mahu Projek Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) Limbang disiapkan segera meskipun berdepan masalah teknikal sebelum ini.

Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu menyediakan pelan pemulihan agar projek IAC bernilai RM157 juta itu dapat siap hujung tahun 2024.

"Isu kelengkapan sumber manusia, bahan binaan dan keperluan peralatan dan mesin perlu diambil kira pihak kontraktor agar projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan iaitu pada September 2024," ujarnya kepada media ketika melawat Projek IAC Limbang dan Projek Jambatan Kedua Sungai Limbang di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan  ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang.

Uggah juga mahu pihak JKR terutamanya pegawai penyelia, membuat kerja secara terperinci termasuk menyediakan pelan pemulihan IAC.

"Kita mendapati perkembangan tidak seperti yang diharapkan, jadi beberapa perkara perlu diberi perhatian kontraktor untuk memastikan tenaga kerja yang mencukupi, jentera yang mencukupi dan bahan yang mencukupi. 

"Ini adalah sangat penting, semua ini perlu diatur semula supaya mereka dapat menyiapkan awal, lebih-lebih lagi cuaca kering dan panas adalah masa yang sesuai untuk syarikat pembinaan meningkatkan produktiviti mereka," ujarnya.

Katanya lagi, hanya terdapat kira-kira 34 projek sakit di Sarawak dan daripada jumlah itu 20 adalah projek kerajaan persekutuan dan 14 di bawah kerajaan negeri.

Mengulas mengenai Projek Jambatan Kedua Sungai Limbang yang berdepan kelewatan sebelum ini, Uggah berpuas hati dengan kemajuan dan perkembangan projek tersebut.

"Projek Jambatan Sungai Limbang dengan kos RM177 juta sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada Septemer 2024," katanya.

Advertisement