Anda di sini

Trienekens dan SSPL tandatangani MoU potensi kerjasama kitar semula sisa plastik

Advertisement
Chin (dua kiri) dan Pengerusi Shell Malaysia merangkap Naib Presiden Kanan Huluan Shell Siti Sulaiman (dua kanan) bertukar-tukar MoU disaksikan Dr Hazland (tengah), Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Trienekens Elvin Wee (kiri) dan SSPL PCE Lead Asia Ng Swee Kiat (kanan).
Chin (dua kiri) dan Pengerusi Shell Malaysia merangkap Naib Presiden Kanan Huluan Shell Siti Sulaiman (dua kanan) bertukar-tukar MoU disaksikan Dr Hazland (tengah), Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Trienekens Elvin Wee (kiri) dan SSPL PCE Lead Asia Ng Swee Kiat (kanan).

KUCHING: Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd dan Shell Singapore Pte. Ltd. (SSPL) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk potensi bekerjasama dalam kitar semula bahan kimia sisa plastik.

Majlis pertukaran MoU itu yang disaksikan oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni hari ini di Ibu Pejabat Trienekens di sini, sekali gus menandakan satu perkembangan penting dalam usaha kelestarian rantau.

Ini kerana ia melakar langkah ke hadapan ke arah mewujudkan ekonomi sikular melalui teknologi dan inovasi kukuh yang menyediakan penyelesaian pengurusan sisa plastik yang mampan.

Dr Hazland mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pihak kerana bekerjasama untuk membangunkan penyelesaian yang mampan di mana inisiatif sedemikian adalah sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030 yang merangkumi Kelestarian Alam Sekitar.

“Kerjasama dalam industri pakar adalah penting dan amat dialu-alukan kerana ia membantu merealisasikan cita-cita dan visi Sarawak untuk memindahkan ekonomi semasa kita kepada ekonomi sikular.

“Dengan berfikiran ke hadapan, kita boleh maju ke arah pengurusan sumber yang lebih baik, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi,” kata Dr Hazland.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Trienekens Stephen Chin, sebagai sebahagian daripada inisiatif penyelidikan dan pembangunan yang berterusan, syarikat itu telah melihat kitar semula bahan kimia sebagai kaedah pemulihan yang berpotensi untuk menangani sisa plastik.

“Melalui perkongsian dengan Shell ini, kami berminat untuk menemui potensi kitar semula bahan kimia, dari segi teknologi dan ekonomi,” kata Chin.

Sementara itu, Naib Presiden bagi Pengurusan Perniagaan Shell Chan Win Sim berkata, selain kajian kebolehlaksanaan dan potensi kerjasama, penilaian itu akan merangkumi penilaian ekonomi terhadap pilihan yang tersedia untuk sisa pepejal perbandaran.

“Kami berharap dengan penemuan yang boleh dilaksanakan, kami akan dapat merumuskan cadangan kepada Kerajaan Sarawak untuk menyokong kitar semula bahan kimia.

"Kerjasama ini adalah contoh hebat syarikat bergabung tenaga untuk menangani cabaran global dan menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan,” kata Chan.

Kitar semula bahan kimia sisa plastik ialah satu bentuk kitar semula termaju yang memecahkan sisa plastik kepada blok binaan kimia asasnya yang kemudian ditukar untuk mencipta plastik baharu, bahan api atau produk kimia lain.

Advertisement