
SIBU: Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting menyeru Universiti Teknologi Sarawak (UTS) bekerjasama dengan majlis itu bagi menangani isu perubahan iklim dan mewujudkan Sibu yang lebih mesra alam.
Bercakap kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan kakitangan UTS semasa lawatan mereka ke Pejabat MPS di sini hari ini, Ting berharap UTS akan mengambil inisiatif untuk melakukannya secara terbuka demi generasi akan datang.
Beliau menegaskan terdapat keperluan untuk mengubah tabiat dalam kalangan penduduk Sibu terutamanya dalam usaha mengurangkan sampah.
Beliau kesal kerana tapak pelupusan sampah yang sepatutnya bertahan selama beberapa tahun kini hampir penuh.
“Saya rasa perwakilan pelajar perlu membincangkan perkara ini dengan panjang lebar. Sepatutnya anjurkan ceramah, ajak orang datang, ajak MPS terlibat kerana apa yang anda nak buat adalah untuk bandar kita.
“Saya harap ia akan bermula dari situ kerana MPS melakukannya sekarang. Kami akan menghadiri sidang kemuncak Datuk Bandar di Kuala Lumpur pada bulan Jun. Sidang kemuncak itu akan membincangkan tentang perubahan iklim, kemampanan dan pengurangan karbon,” ujarnya.
Beliau berkata, MPS telah memutuskan untuk menghadiri acara itu kerana mereka mesti memastikan diri mereka mendapat pengetahuan kerana perubahan iklim adalah topik yang mencabar.
“Saya amat berharap agar anda semua akan memulakan perkara ini juga dan menjadikan pelajar UTS sebagai mercu untuk perkara ini.
“Lakukan dengan cara yang positif dan pastikan orang ramai mendapat maklumat. Jika tidak, kita tidak boleh menjadi ahli masyarakat dunia,” katanya.
Dalam perkara lain, Ting menggalakkan pelajar terbabit dalam kerja awam sekiranya berpeluang untuk membina sahsiah kepimpinan dan kemahiran komunikasi.
Beliau berkata, tugas sebagai ahli majlis dan kakitangan majlis lebih kepada perhubungan awam di mana mereka perlu berjumpa ramai orang, menerima panggilan telefon dan belajar bercakap dengan orang ramai.
Menurutnya lagi, MPS sebagai kerajaan tempatan adalah yang paling dekat dengan rakyat, memberikan perkhidmatan yang diperlukan oleh rakyat setiap hari.
Hadir sama Timbalan Pengerusi MPS Mohammed Abdullah Izkandar Rosely, Pengurus Kanan Jabatan Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar UTS Lu Yew King dan Presiden MPP UTS Goh Qi Hao.