Anda di sini

Tiga maut, empat parah nahas dua kereta di KM30 Jalan Sri Aman-Sarikei 

Advertisement
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan dua kereta di Kilometer 30, Jalan Sri Aman-Sarikei pada malam Khamis.
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan dua kereta di Kilometer 30, Jalan Sri Aman-Sarikei pada malam Khamis.

KUCHING: Tiga maut dan empat parah dalam kemalangan dua kereta di Kilometer 30 Jalan Sri Aman-Sarikei pada malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Lubok Antu DSP Victor Ripon berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta kompak dan sebuah kereta sedan.

Menurutnya, semasa kejadian kereta kompak dinaiki empat mangsa dikatakan bergerak dari arah Betong menuju ke Sri Aman, manakala kereta sedan dinaiki tiga mangsa dari arah Sri Aman ke Betong sekitar jam 7.20 malam.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila kereta kompak dipercayai masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta sedan.

"Impak pertembungan menyebabkan kedua-dua kereta remuk dan pemandu serta penumpang hadapan kereta kompak disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Victor berkata, seorang lagi penumpang kereta kompak disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Engkilili.

"Manakala, pemandu dan penumpang kereta sedan dirujuk ke Hospital Sri Aman untuk rawatan lanjut," katanya.

Kes tersebut masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Carlos Nelson, 22, dari Kampung Temudok, Sri Aman serta Elizabeth Jua, 33, dan kakaknya Pauline Simba Jua, 34, dari Rumah Mandau Lempaong, Betong.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman juga dikerahkan ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan mangsa-mangsa yang tersepit di dalam kereta terbabit.

Advertisement