Anda di sini

Tiang akan bawa isu penamaan semula Jln Pahlawan ke Kabinet

Advertisement
TIANG
TIANG

SIBU: Penamaan semula Jalan Pahlawan kepada Jalan Robert Lau Hoi Chew ditangguh setelah mendapat bantahan daripada orang ramai, kata Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Michael Tiang.

Menurut Tiang, perkara itu telah disuarakan kepada Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dato Sri Dr Sim Kui Hian.

"Beliau bersetuju meminta Majlis Perbandaran Sibu (MPS) menangguhkan dan tidak meneruskan penamaan semula jalan.  

"Jadi, sekarang, kita telah menangguhkan tindakan itu dan saya akan bawa semula perkara itu ke Kabinet," ujarnya.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai perkembangan perkara itu ketika ditemui pemberita setelah merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina (C) Kiang Hin di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu berkata, orang ramai menyatakan rasa tidak puas hati mereka menekankan kepentingan nama jalan sedia ada dan kesulitan yang akan timbul daripada menukarnya.

"Saya menerima banyak maklum balas daripada orang ramai yang tidak berpuas hati. Mereka berpendapat bahawa kita tidak sepatutnya menyentuh nama jalan yang sedia ada. Tetapi, mereka tiada bantahan jika kita membina jalan baharu dan mempunyai nama jalan baharu.

"Saya benar-benar bersetuju bahawa kita tidak sepatutnya melakukan apa-apa yang menyusahkan rakyat," jelasnya.

Beliau berharap orang ramai memberi masa kepadanya untuk membuat tindakan susulan berhubung perkara ini.

"Saya tidak boleh membatalkannya, saya tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. Saya perlu membawa perkara itu semula ke Kabinet untuk mempertimbangkan semula permintaan orang ramai supaya penamaan semula nama jalan dibatalkan," ujarnya lagi.

Sementara itu, Pada 11 Mei lalu,  Pengerusi MPS, Clarence Ting dilaporkan berkata, Jalan Pahlawan akan dinamakan semula kepada Jalan Lau Hoi Chew dan cadangan untuk menamakan semula ia telah diluluskan melalui kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada awal Februari.

Kata Ting, penamaan semula jalan tersebut adalah untuk menghormati mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew atas sumbangannya kepada Sibu.

Bagaimanapun, disebabkan oleh kerumitan dan kesulitan melibatkan semua pertukaran alamat untuk utiliti (bil air, bil elektrik), alamat rumah dan surat-menyurat, langkah itu mendapat bantahan orang ramai.

  • oleh
  • Advertisement