Anda di sini

Tentera Laut Sri Lanka temui 14 mayat dalam bot nelayan China yang karam

Advertisement
 Gambar serahan Tentera Laut Sri Lanka kelmarin menunjukkan bot nelayan China, Lu Peng Yuan Yu 028, yang karam di Lautan Hindi. — Gambar AFP
KARAM: Gambar serahan Tentera Laut Sri Lanka kelmarin menunjukkan bot nelayan China, Lu Peng Yuan Yu 028, yang karam di Lautan Hindi. — Gambar AFP


COLOMBO: Tentera Laut Sri Lanka kelmarin menemui 14 mayat di dalam sebuah bot nelayan China yang karam minggu lalu dengan 39 kru di atas kapal.

Penemuan mengerikan itu berlaku sehari selepas siasatan awal kerajaan China menyimpulkan bahawa tiada mangsa yang terselamat dalam kapal itu yang terbalik pada 16 Mei.

Lu Peng Yuan Yu 028 membawa 17 warga China, 17 Indonesia dan lima Filipina dan berada dalam kawasan mencari dan menyelamat yang luas di Australia, 5,000 kilometer barat Perth.

Kementerian Luar Filipina berkata bot itu dikesan pada 18 Mei kira-kira 1,000 kilometer di selatan Sri Lanka tetapi usaha menyelamat terhalang oleh cuaca buruk.

Tentera Laut Sri Lanka berkata penyelamnya telah menemui dua mayat dan mengesan 12 lagi pada Selasa, mengeluarkan gambar yang menunjukkan kapal dan mayat dibawa keluar dari air.

“Oleh kerana penguraian dan potensi bahaya kesihatan yang ditimbulkan oleh operasi di perairan yang tercemar dengan peralatan perlindungan yang terhad, pengambilan mayat-mayat tersebut akan menjadi sangat berbahaya,” kata tentera laut dalam satu kenyataan.

Katanya, lokasi 12 mayat di dalam bot itu telah dipetakan dan diserahkan kepada pihak berkuasa China. Warganegara mangsa belum diketahui.

Kenyataan Tentera Laut Sri Lanka itu dikeluarkan sehari selepas siasatan awal oleh Kementerian Pengangkutan China membuat kesimpulan bahawa semua yang berada di dalam kapal itu telah meninggal dunia.

Australia telah menghantar tiga kapal terbang dan empat kapal untuk membantu dalam usaha mencari dan menyelamat antarabangsa.

Pasukan penyelamat telah melintasi kawasan seluas kira-kira 64,000 kilometer persegi dan “tidak menemui sebarang tanda mangsa terselamat”, menurut kementerian pengangkutan China.

Suar kecemasan kapal nelayan itu mula dikesan minggu lalu apabila Siklon Fabian membawa ombak setinggi tujuh meter dan angin sekuat 120 kilometer sejam di kawasan itu.

Cuaca buruk menghalang usaha menyelamat, dengan Pusat Penyelarasan Menyelamat Bersama (JRCC) di Canberra memberi amaran mengenai keadaan hidup yang “mencabar”.

Kapal itu dimiliki oleh Syarikat Perikanan Penglai Jinglu, salah satu firma perikanan besar China.

Ia diberi kebenaran untuk menangkap sotong terbang neon dan sauri Pasifik, menurut Suruhanjaya Perikanan Pasifik Utara. — AFP

Advertisement