
KUCHING: Projek pembinaan Pusat Paroki St Basil berjalan mengikut jadual dan dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2024.
Archdeacon Jose Jul Endru berkata projek bernilai RM6.2 juta itu kini dalam peringkat menanam cerucuk dan akan diteruskan ke peringkat asas tidak lama lagi.
Beliau berkata, pembiayaan projek yang diterima daripada Unit Agama-Agama Lain (UNIFOR) kerajaan negeri ialah RM1.4 juta.
Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata kerajaan negeri mengambil berat tentang keperluan semua rumah ibadat di negeri ini.
Katanya, ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam mengekalkan perpaduan dan keharmonian antara semua kaum dan agama.

Tambahnya, Pusat Paroki St Basil perlu diwujudkan seiring dengan perkembangan masyarakat di Batu Kawa.
Upacara pembukaan tapak projek disempurnakan oleh Bishop Gereja Anglikan Sarawak dan Brunei Darussalam The Right Reverend Datuk Danald Jute.
Hadir sama Pengarah UNIFOR Datu Jack Aman Luat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang.