Anda di sini

Polis buru individu berbaju kurung disyaki rompak kedai di MJC

Advertisement
Gambar daripada video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis kejadian.
Gambar daripada video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis kejadian.

KUCHING: Polis sedang memburu seorang individu berbaju kurung kerana disyaki terlibat merompak sebuah kedai di Bandar Baru Batu Kawa (MJC) di sini pada 22 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan polis mengatakan suspek telah memasuki kedai tersebut dan melarikan mesin tunai yang mengandungi wang hasil jualan.

.Menurutnya, semasa kejadian suspek bersenjatakan objek tajam.

"Suspek yang berpakaian wanita dan membawa senjata tajam dipercayai pisau masuk ke dalam kedai tersebut dan terus merampas peti wang tunai di kaunter kedai berkenaan.

"Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal yang ditunggangi seorang lagi suspek," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

"Kedua-dua suspek dipercayai orang tempatan berdasarkan dialek pertuturan," katanya sambil menambah, terdapat beberapa pekerja kedai terbabit berada di lokasi kejadian semasa kes tersebut berlaku.

Katanya, siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu kes rompak berkumpulan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat.

"Satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk mengesan dan menangani kes tersebut.

"Usaha bersama dengan pasukan sahabat daripada IPD berdekatan serta pihak JSJ IPK Sarawak sedang digembleng untuk menumpaskan suspek," katanya.

Sebarang maklumat kejadian boleh disalurkan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Padawan menerusi talian 082-862233.

  • oleh
  • Advertisement