Anda di sini

Petronas santuni 300 penduduk Bintulu sempena Gawai Dayak

Advertisement
Abang Zainudin (dua kanan) bersama Anuar (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima.
Abang Zainudin (dua kanan) bersama Anuar (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima.

BINTULU: Petronas Carigali-Sarawak Asset (PCSB-SKA) dan Yayasan Petronas menyumbang barangan keperluan asas kepada 300 penduduk memerlukan semalam sempena sambutan Hari Gawai Dayak tahun ini.

Sumbangan di bawah program Memacu Kehidupan Hari Gawai Dayak 2023 terbabit yang sebelum ini dikenali sebagai Sentuhan Kasih dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Setiap penerima terbabit menerima sekampit beras, minyak masak, gula, tepung, garam, sardin, teh, Milo, kacang tanah, bihun beras, kicap manis, sos soya, kopi dan hamper biskut.

Penerima juga menerima sumbangan kad hadiah Mesra bernilai RM20 setiap satu yang boleh digunakan membeli barangan keperluan atau minyak petrol di mana-mana kedai Mesra stesen minyak Petronas di Bintulu dan Miri.

Pengurus Besar Kanan PCSB-SKA Anuar Ismail berkata, pihaknya dan Yayasan Petronas, Petronas Sarawak dan Petronas Dagangan Bhd (PDB) giat melaksanakan program kemasyarakatan menerusi tiga teras utama iaitu Pendidikan, Kesejahteraan dan Pembangunan Komuniti serta Alam Sekitar.

"Program Memacu Kehidupan di bawah teras Kesejahteraan dan Pembangunan Komuniti bagi memberi bantuan makanan asas kepada masyarakat memerlukan untuk membantu persediaan mereka menyambut perayaan dalam suasana meriah dan ceria," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Memacu Kehidupan Hari Gawai Dayak 2023 Petronas di sini semalam.

Menurutnya, bagi perayaan tahun ini Petronas menyumbang bantuan kepada 550 keluarga di Sarawak dengan harapan sumbangan makanan asas serta hamper biskut bertemakan perayaan dapat membawa lebih keceriaan semasa sambutan Hari Gawai nanti.

"Saya merakamkan penghargaan kepada JKM sentiasa memberi kerjasama dan sokongan kepada program ini demi memastikan sumbangan dapat disampaikan kepada penerima," jelasnya. 

Beliau berkata, pihaknya membantu hampir 550 individu di Bintulu dan Miri pada 11 dan 12 April lepas bagi persiapan menyambut Hari Raya dan Ramadan lalu demi meringankan beban dan menceriakan suasana perayaan.

Sementara itu, Timbalan Residen Bahagian Bintulu Abang Zainudin Awang Turkey memuji dan menghargai usaha Petronas menyumbang kepada golongan memerlukan sempena Hari Gawai dalam usaha meringankan beban mereka.

"Sumbangan seumpamanya bukan pertama kali oleh syarikat korporat besar itu dan amat baik membantu kerajaan Sarawak meringankan beban penduduk memerlukan," katanya.

Menurutnya, sumbangan berupa barangan asas diharap dapat membantu penduduk semasa menyambut Hari Gawai serta berharap perayaan itu dapat diraikan dengan suasana harmoni.

Hadir sama Pegawai JKM Bintulu Sharifah Mordiah Syed Ali, Seavers Miot Ngipa mewakili Pegawai Daerah Bintulu, kakitangan JKM, kakitangan kerajaan dan pengurusan Petronas. 

Advertisement