Anda di sini

Lelaki pecah rumah ditahan kurang 24 jam

Advertisement
 Telefon bimbit yang berjaya dirampas kembali semasa penahanan suspek.
RAMPAS: Telefon bimbit yang berjaya dirampas kembali semasa penahanan suspek.

TAWAU: Tindakan pantas pihak polis berjaya menahan dua lelaki dalam tempoh kurang 24 jam selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah masuk rumah dan curi di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata bertindak dengan maklumat dan hasil risikan berterusan oleh pihak polis berjaya menahan suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk rumah dan curi di sekitar daerah ini.

“Kejadian berlaku ketika mangsa berumur 70 tahun terbangun dari tidur di rumahnya sebelum menyedari telefon bimbit yang diletakkan di tepi tempat tidur hilang dipercayai dicuri oleh orang yang tidak dikenali kira-kira jam 12.30 tengah malam.

“Pada hari sama, sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai berjaya menahan seorang suspek warga asing berumur 23 tahun di Kampung Sungai Haji Matahir Tawau, kerana dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk rumah dan curi pada jam 12.40 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku terbabit dalam kes pecah masuk rumah bersama seorang lagi rakannya.

“Dengan dipandu arah oleh suspek, polis berjaya menahan seorang lagi suspek warga tempatan berumur 38 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sungai Haji Matahir selepas dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit beserta sarung telefon bimbit daripada suspek semasa penahanan berkenaan,” katanya.

Tambahnya kedua-dua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Kita juga sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat kes-kes lain yang membabitkan suspek yang sama.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau sedang mempergiatkan lagi usaha membanteras kegiatan jenayah dan dadah dari semasa ke semasa dengan operasi yang lebih agresif,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement