Anda di sini

KMKK bantu tingkat pemahaman rakyat tentang polisi dan hala tuju kerajaan: Ting

Advertisement
Ting (enam kiri) bergambar kenangan bersama tetamu sambil KMKK menunjukkan sijil pelantikan masing-masing selepas majlis di Pejabat Daerah Miri di Kompleks Islam Sarawak Miri, hari ini.

MIRI: Hubungan rapat antara ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) dengan masyarakat setempat dapat membantu meningkatkan pemahaman dan sokongan rakyat di kawasan jagaan mereka tentang polisi dan hala tuju kerajaan. 

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting mahu setiap KMKK aktif turun padang menemui rakyat akar umbi menyebarkan polisi kerajaan serta membimbing mereka untuk bekerjasama dan bersatu padu.  

"Mereka menjadi mata, telinga dan mulut kerajaan. Melihat, mendengar dan bercakap mewakili kerajaan tentang polisi. Kita mahu rakyat tahu hala tuju kerajaan, membawa negeri ke hadapan," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan sijil pelantikan dua kapitan baharu dan sijil pelanjutan tempoh perkhidmatan empat ketua kaum dan seorang penghulu di Pejabat Daerah Miri, hari ini. 

Ting yang juga ADUN Piasau berkata, selain itu setiap ketua kaum, kapitan, penghulu, pemanca dan pemenggung yang mewakili pelbagai kaum di sini harus mengukuhkan kerjasama antara satu sama lain. 

Menurutnya, penduduk Miri sangat bertuah kerana memiliki semangat toleransi, hormat-menghormati dan persefahaman antara kaum yang tinggi. 

"Penduduk di Miri bekerjasama dan ini harus diteruskan. Kita tidak boleh gaduh," tambah Ting. 

Terdahulu, Residen Miri Jamalie Busri menyeru KMKK bersifat proaktif menunaikan tanggungjawab mereka serta bekerjasama dengan wakil rakyat serta ketua jabatan di kawasan masing-masing untuk penyampaian perkhidmatan yang lebih baik. 

Mereka juga diminta untuk sentiasa bersiap siaga dengan pelbagai aktiviti pembangunan dan sosial di bandar raya Miri katanya. 

Ketika musim kemarau sekarang katanya, mereka diminta memantau aktiviti pembakaran terbuka di kawasan masing-masing untuk mengelak kejadian kebakaran lebih serius. 

Jamalie turut memohon mereka bertindak cepat dengan menghubungi segera pihak berkuasa sekiranya berdepan dengan masalah kekurangan bekalan air. 

"Saya berharap KMKK akan sentiasa membantu kerajaan dengan memberi info dan nasihat kepada rakyat," jelasnya. 

Dalam pada itu, dua kapitan baharu yang dilantik ialah Leong Chin Lim dan Chan Chai Ping untuk tempoh selama empat tahun bermula 1 Jun 2023 sehingga 31 Disember 2026. 

Leong menjaga kawasan pusat bandar, Tanjong Lobang, Brighton, Merbau Estate dan Gilbert Estate, sementara Chan menjaga kawasan Piasau. 

Sementara itu, Penghulu Samad Alip dilanjutkan perkhidmatan selama dua tahun dan menjaga kawasan Kampung Wireless, Lereng Bukit, Katong, Haji Wahed dan Pulau Melayu. 

Empat KK yang dilanjutkan perkhidmatan ialah Darahaman Sahat untuk Kampung Pulau Melayu, Abdul Rahaman Bolhasan untuk Lampung Luak dan Lusut, Rushdi Abdul Rani untuk Kampung Wirelesss dan Salim Santol untuk Kampung Haji Wahed. 
 
Hadir sama Pegawai Daerah Miri Siti Rohani Yusof dan Temenggung Datuk Abdul Rahman Fadzail. 

Advertisement