Anda di sini

Jenazah Awang Askandar dijangka tiba di KLIA awal pagi esok

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Jenazah peserta misi pendakian Malaysia Everest 2023 (ME2023) yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub, dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6.25 pagi esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata jenazah akan diterbangkan dari Kathmandu menggunakan pesawat MH115 pada 11.30 malam ini (waktu Kathmandu).

“Jenazah akan dibawa balik ke Kota Kinabalu dengan menaiki pesawat MH2646 pada pukul 11.35 pagi, 27 Mei 2023 dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada pukul 2.15 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Atas permintaan ahli keluarga, Armizan berkata jenazah akan dibawa ke kediaman mereka di Kampung Benoni, Papar dan kemudiannya ke Masjid Jamek As-Salam Benoni untuk solat jenazah.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Benoni dengan mengikut istiadat penghormatan APM.

Menurut kenyataan itu, urusan membawa balik jenazah telah diselaraskan dengan lancar oleh pihak Kedutaan Malaysia di Nepal.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Awang Askandar meninggal dunia sehari selepas terjatuh ketika melakukan pendakian ke Gunung Everest dan hanya memerlukan kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncak, pada ketinggian kira-kira 8,000 meter dari paras laut.

Seorang lagi pendaki, orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim, 33, dilaporkan hilang setelah berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu dan usaha mencarinya masih dijalankan. - Bernama 

Advertisement