Anda di sini

Guru prasekolah berperanan penting bentuk minda kanak-kanak

Advertisement
Lau (tujuh kiri), Janet (lima kanan), Teresa (empat kanan) bersama ahli lembaga pengarah dan guru memotong kek sambutan Hari Ibu, Hari Guru dan Pra Gawai Tadika Yakin Diri 2023 hari ini.
Lau (tujuh kiri), Janet (lima kanan), Teresa (empat kanan) bersama ahli lembaga pengarah dan guru memotong kek sambutan Hari Ibu, Hari Guru dan Pra Gawai Tadika Yakin Diri 2023 hari ini.

SIBU: Guru prasekolah memainkan peranan penting dalam membentuk minda kanak-kanak, ujar Pengerusi Lembaga Pengarah Tadika Yakin Diri Temenggung Dato Vincent Lau Lee Ming.

Beliau berkata, hampir 90 peratus kanak-kanak di negeri ini mendapat pendidikan prasekolah yang juga merupakan masa untuk memupuk tingkah laku dan sahsiah mereka.

"Oleh itu, guru-guru prasekolah perlu meningkatkan diri dan kemahiran mengajar untuk mengajar kanak-kanak supaya menepati piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan," ujarnya.

Lau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Ibu, Hari Guru dan Pra Gawai Tadika Yakin Diri 2023 di sini, hari ini.

Lau berkata, kerjaya pendidikan adalah satu profesion yang berbeza daripada profesion lain.

Katanya, dunia luar mungkin tersalah anggap bahawa tugas pendidik prasekolah hanyalah untuk membimbing kanak-kanak dan membiarkan mereka mempelajari ilmu mudah sambil berseronok di sekolah.

"Malah, terdapat lebih daripada itu dan hanya pendidik prasekolah yang memahami keperluan dan masalah yang mereka hadapi ketika berhadapan dengan kanak-kanak prasekolah ini," ujarnya.

Justeru, beliau mengingatkan warga pendidik prasekolah supaya terus memperkasakan pembudayaan akhlak guru, berfikiran terbuka sepanjang masa dan juga berusaha menyerap idea dan pengalaman pendidikan baharu.

Selain itu, Lau berkata beliau juga sedang meninjau peluang untuk mengatur guru menyertai seminar pendidikan kerana ia adalah platform pembelajaran yang sangat berharga yang membolehkan guru mempunyai pemahaman yang lebih konkrit tentang perkembangan pendidikan prasekolah di negara ini.

Lau berkata, ini juga boleh membantu para pendidik prasekolah untuk berfikir lebih mendalam, sekali gus meluaskan ufuk mereka dan sentiasa peka dengan perkembangan pendidikan prasekolah.

"Saya amat percaya bahawa pada masa hadapan, dengan usaha berterusan semua orang dan sokongan padu ibu bapa dan lembaga pengarah, persekitaran pembelajaran yang selamat, selesa dan bertenaga dalam pendidikan akan diwujudkan untuk kakitangan dan kanak-kanak Tadika Yakin Diri," tegasnya.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Tadika Yakin Diri Dato Janet Lau dan Pengetua Tadika Yakin Diri Teresa Lau.

Advertisement