Arus deras turut membinasakan 200 hektar tanah pertanian

HERAT: Enam orang terbunuh dan puluhan rumah dihanyutkan banjir di tengah Afghanistan, kata pihak berkuasa tempatan kelmarin.
Abdul Wahid Hamas, jurucakap gabenor Taliban di wilayah Ghor, berkata tiga wanita dan seorang kanak-kanak maut apabila rumah mereka di bandar Firozkoh dihanyutkan air pada Selasa.
Di daerah Pasaband, di wilayah yang sama, seorang lelaki dan seorang wanita turut dihanyutkan arus deras dan kemudian ditemui mati, manakala seorang lagi masih hilang, kata Hamas.
Lebih 100 rumah dan kira-kira 200 hektar tanah pertanian musnah, dengan terusan yang digunakan untuk mengairi sawah sudah rosak, katanya.
“Kami tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai kerugian kewangan buat masa ini,” kata Hamas.
Afghanistan dicengkam oleh salah satu bencana kemanusiaan terburuk di dunia menurut agensi bantuan, dan penyelidikan mencadangkan bahawa negara itu sangat terdedah kepada kesan cuaca ekstrem yang disebabkan oleh perubahan iklim.
Sembilan daripada 10 keluarga Afghanistan tidak mampu membeli makanan yang mencukupi, kata Program Makanan Dunia pada Mac.
Sejak kejatuhan kerajaan yang disokong Amerika Syarikat dan Taliban kembali berkuasa pada 2021, kemasukan bantuan yang banyak telah terhenti – dengan negara-negara asing enggan berurusan dengan pemerintah baharu Kabul.
Pertubuhan bukan kerajaan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga dikenakan sekatan oleh kerajaan Taliban berhubung pengambilan pekerja wanita Afghanistan untuk menjalankan kerja-kerja bantuan penting, dan pertubuhan dunia terbabit sukar mendapatkan sumbangan wang tunai.
Wilayah Ghor juga telah mengalami kemarau yang berpanjangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. — AFP