Anda di sini

Dua sahabat didenda RM3,000 kerana mencuri kabel milik TM

Advertisement
 

KUCHING: Perbuatan dua sahabat mencuri segulung wayar kabel milik Telekom Malaysia (TM) membawa padah apabila mereka dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau tujuh bulan penjara setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini. 

Majistret Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Nasri Mohammad, 45, dan Awang Shahrizal Awg Terbize, 37, selepas mereka mengaku bersalah sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibacakan terhadap mereka.

Menurut fakta kes, pengadu iaitu seorang anggota polis bersama sepasukan polis sedang membuat pemantauan Ops Rantau di sekitar Kampung Semerah Padi di sini pada 22 Mei lalu, sekitar jam 5.30 pagi sebelum terserempak dengan dua orang lelaki (tertuduh) yang sedang memunggah kabel dari sebuah kereta kompak. 

Pemeriksaan dilakukan dan kedua-dua lelaki tersebut seterusnya ditahan bersama barang rampasan, antara lainnya adalah segulung kabel dan sebuah alat pemotong besi yang dijumpai di dalam kereta kompak dinaiki mereka. 

Mereka seterusnya dibawa ke pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak untuk tindakan selanjutnya. 

Semasa tangkapan dibuat juga, Awang Shahrizal dilaporkan cuba melarikan diri namun terjatuh semasa ditangkap. 

Selain itu, siasatan awal juga mendapati kedua-dua tertuduh mengaku telah mencuri kabel tersebut di dalam semak berhampiran kawasan Kampung Semariang Batu di sini. 

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang. 

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Advertisement