Anda di sini

COBRA JKDM buat kemunculan pertama di LIMA '23

Advertisement
COBRA yang merupakan pasukan elit JKDM membuat kemunculan pertama kali pada LIMA '23 hari ini. - Gambar Bernama
COBRA yang merupakan pasukan elit JKDM membuat kemunculan pertama kali pada LIMA '23 hari ini. - Gambar Bernama

Oleh Noraizura Ahmad

LANGKAWI: Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) yang merupakan pasukan elit Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membuat kemunculan pertama kali pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA '23) yang diadakan pada 23 hingga 27 Mei.

Pegawai Pemerintah Medan COBRA Mohd Nizam Sungib berkata seramai 40 anggota terbabit dalam segmen pasukan khas menerusi demonstrasi darat dan laut pada pameran itu.

"Peluang ini memberi kesan positif kepada pasukan selain memberi pendedahan kepada orang ramai bahawa JKDM mempunyai pasukan elit yang boleh digerakkan pada bila-bila masa," katanya kepada Bernama.

Mohd Nizam yang juga Penolong Kanan Pengarah Kastam 1 berkata, beliau berbangga dengan penampilan pertama COBRA pada LIMA '23 yang merupakan pendedahan peringkat antarabangsa kepada pasukan itu.

COBRA ditubuhkan secara rasmi pada 28 Nov 2016 di Lapang Sasar Lembah Bidong, Setiu, Terengganu bagi mengendalikan kes berprofil dan berisiko tinggi terutamanya yang melibatkan kes dadah dan aktiviti penyeludupan rentas sempadan.

Mengulas mengenai COBRA, Mohd Nizam berkata cetusan idea penubuhannya adalah susulan kes pembunuhan bekas Timbalan Ketua Pengarah Kastam Datuk Shaharuddin Ibrahim yang mati ditembak sewaktu dalam perjalanan ke pejabat di Putrajaya, pada 26 April 2013.

Susulan itu, pengurusan tertinggi JKDM melihat tugas anggota berisiko tinggi dan berbahaya terutamanya di Bahagian Penguatkuasaan yang sering mendapat ancaman seperti cubaan dan ugutan bunuh,  keselamatan diri dan keluarga, perbuatan khianat membakar atau menyimbah cat ke atas rumah dan kenderaan, halangan serta gangguan daripada tonto dan lain-lain. 

Katanya, trend kegiatan penyeludupan rentas sempadan hari ini sudah berubah dan semakin berbahaya, dan sebab itu jabatan memerlukan pasukan yang boleh digerakkan pada bila-bila masa serta mampu berdepan cabaran ini.

“Cabaran daripada sindiket sudah berbeza. Dulu penyeludupan, ia berkait dengan jenayah ekonomi, tetapi sekarang ia berkait dengan kongsi gelap atau gengsterisme atau terrorisme yang melakukan aktiviti ini bagi mencari dana untuk membiayai kegiatan haram mereka.

"Penubuhan sebuah pasukan taktikal bersenjata iaitu COBRA sangat diperlukan bagi menangani ancaman dan risiko yang sering dihadapi oleh jabatan," katanya.

Katanya, jumlah keanggotaan pasukan elit itu kini lebih 60 orang yang dibahagikan kepada enam zon iaitu Zon Tengah (Selangor, Perak, Kuala Lumpur), Utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang), Selatan (Melaka, Negeri Sembilan, Johor), Timur (Pahang, Kelantan, Terengganu) serta Sabah dan Sarawak.

COBRA mendapat latihan asas di Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Perak sebelum dihantar untuk melanjutkan kursus lanjutan bersama pasukan khas lain di Malaysia bagi mempertingkatkan ilmu dan kemahiran.

Sejak penubuhan pasukan itu, beberapa siri operasi berimpak tinggi terutamanya melibatkan komoditi dadah berbahaya disertai COBRA bersama cawangan Narkotik JKDM dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia.

Antaranya melibatkan serbuan dan tangkapan bagi rampasan dadah jenis kokain dan ketamine bernilai RM676 juta pada Ogos 2019 dan rampasan 2.5 juta pil erimin 5 bernilai RM50 juta pada Mac 2017 yang kedua-duanya berlaku di Selangor. - Bernama 

Advertisement