Anda di sini

Chieng seru belia Sibu sertai JCIM TOYM 2023

Advertisement
Chieng (empat kiri) menerima cenderamata daripada Simon sambil diperhatikan ahli-ahli JCI yang lain.  
Chieng (empat kiri) menerima cenderamata daripada Simon sambil diperhatikan ahli-ahli JCI yang lain.  

SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng menyeru golongan belia di sini menyertai JCI Malaysia Ten Outstanding Young Malaysia (JCIM TOYM) 2023 yang mana penyertaannya kini sudah dibuka.

Menurut Chieng, penyertaan belia dalam anugerah itu bukan hanya memberi pengiktirafan kepada diri sendiri, tetapi juga peluang untuk mereka menunjukkan bakat dan potensi masing-masing.

"Dengan penyertaan aktif, anda akan memberi inspirasi kepada yang lain dan turut menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan bandar Sibu secara menyeluruh," ujarnya pada sidang media mengenai JCIM TOYM 2023 dan JCI Malaysia Sustainable Development Award (JCIM SDA) di Universiti Teknologi Sarawak (UTS), hari ini.

Chieng berkata, penyertaan dalam JCIM TOYM turut memberikan banyak faedah kepada peserta dan salah satu faedah ialah menyediakan rangkaian atau hubungan dengan individu yang mempunyai minat sama yang mahu membuat perubahan.

"Kedua, anugerah ini menjadi pemangkin bagi membangunkan kemahiran diri. Ia menawarkan peluang untuk mengasah bakat, menambah pengetahuan dan mendapatkan pengalaman yang berguna," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan belia di Sibu tampil ke hadapan serta menunjukan bakat serta pencapaian masing-masing dengan menyertai kedua-dua anugerah tersebut.

Menyentuh mengenai JCIM SDA, Chieng berkata anugerah itu diberikan bagi memberi penghargaan kepada kepada projek mampan yang diusahakan oleh syarikat dan organisasi di Malaysia, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Anugerah ini merupakan satu platform bagi mempamerkan penyelesaian inovatif dan langkah-langkah transformasi yang diambil sama ada oleh golongan belia atau syarikat dan juga organisasi," ujarnya.

Menurut pengerusi penganjur Simon Hii, JCIM TOYM 2023 terbuka kepada belia Malaysia yang berumur 18 hingga 40 tahun, yang akan bertanding dalam 10 kategori.

Hii berkata, majlis penyampaian anugerah JICM TOYM akan berlangsung di Johor pada 16 September depan.

Borang penyertaan JCIM TOYM 2023 boleh diperolehi di laman sesawang https://toym.jcimalaysia.cc. Tarikh tutup penyertaan pada 30 Jun 2023.

Advertisement