Anda di sini

BDA lancar Kempen Kurangkan Penggunaan Beg Plastik dengan 10 pasar raya besar di Bintulu

Advertisement
Yakup (dua kanan) menyerahkan sijil penyertaan kepada pengusaha pasar raya di Bintulu dalam kempen kurangkan penggunaan beg plastik.
Yakup (dua kanan) menyerahkan sijil penyertaan kepada pengusaha pasar raya di Bintulu dalam kempen kurangkan penggunaan beg plastik.

BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) melancarkan Kempen Kurangkan Penggunaan Beg Plastik bersama 10 pasar raya besar di Bintulu dalam usaha merealisasikan aspirasi bandar rendah karbon.

Pengurus Besar BDA Datu Muhamad Yakup Kari berkata, BDA amat menitik berat kepentingan kebersamaan dalam melindungi alam sekitar bandar ini dengan memperkenalkan kempen tersebut ke arah pembangunan Bintulu yang mampan dan mesra alam sekitar.

"Pencemaran plastik telah mencapai tahap yang membimbangkan dengan penggunaan tanah untuk tapak pelupusan sampah, menyesakkan lautan, mencemarkan tanah dan membahayakan hidupan liar dalam bandar dan kawasan sekitarnya," ujarnya ketika melancarkan kempen itu di Auditorium BDA Wisma Bintulu hari ini.

Muhamad Yakup berkata, jumlah sisa plastik dijana setiap hari sangat mengejutkan, namun perubahan mampu dilakukan menerusi usaha bersama secara bersepadu.

"Saya menyokong usaha komprehensif Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030.

"Kempen kita ini pula berhasrat untuk meningkatkan kesedaran, mendidik orang ramai, penduduk Bintulu dan melaksanakan strategi yang berkesan untuk meminimumkan penggunaan plastik dan menggalakkan kelestarian ke arah bandar yang bersih, selamat dan sesuai untuk didiami.

"Untuk mencapai bandar yang mempunyai rendah karbon, peranan semua orang dituntut untuk membantu bagi menjadi Bintulu lebih baik dan inovatif," katanya.

Sementara itu, Pengurus Seksyen Kesihatan Alam Sekitar BDA Mangga Nyuyang berkata, kempen sama pernah diadakan pada setiap Sabtu di pasar raya-pasar raya di Bintulu suatu ketika dahulu dengan pelanggan dikenakan bayaran 20 sen sekiranya ingin mengguna beg plastik.

"Selepas beberapa ketika amalan itu tidak diteruskan dan penggunaan beg plastik kembali semula seperti sebelumnya," ujarnya dalam ucapan aluan.

Katanya, Muhamad Yakup membangkitkan semula idea itu pada tahun 2022 dan mesyuarat pertama diadakan dengan pasar raya di sini pada 26 Januari 2022 seterusnya memorandum persefahaman (MoU) antara BDA dan 10 pasar raya besar di Bintulu telah ditandatangani.

"Pasar raya tersebut merupakan pusat komersial besar dengan transaksi dan jumlah jualannya banyak, sekali gus pendekatan ini bermula dari langkah kecil untuk mencapai agenda besar supaya menjadi ikutan dan teladan kepada pengusaha-pengusaha lain," tambahnya.

Di peringkat nasional katanya, sudah ada pelan tindakan yang dikeluarkan untuk menangani isu alam sekitar dan tahun pada 2018, Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 telah dilancarkan.

Jelasnya, Surat Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2019 berhubung pelaksanaan kempen hindari penggunaan plastik sekali guna di kementerian, agensi, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri juga telah diedarkan.

Di peringkat negeri katanya, pada 29 Mac 2022 Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah melancar Pelan Tindakan Sarawak Lestari untuk menjadikan bumi ini dan alam sekitar lebih mampan bukan hanya untuk sekarang, tetapi juga generasi akan datang.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengurus Besar BDA Abdul Rahim Abdullah, Penolong Pengurus Besar Perkhidmatan Teknikal King Siew Wen, Setiausaha BDA Wan Ibrahim Wan Ali, Penolong Pengurus Besar Perkhidmatan Korporat Hasiah Morshidi serta Penolong Pengurus Besar Perancangan dan Hartanah Prie Nyangan.

Advertisement