Anda di sini

30,648 notis larangan merokok di premis makanan dikeluarkan tahun lalu

Advertisement
Gambar hiasan

IPOH: Sebanyak 30,648 notis kesalahan merokok di premis makanan dengan nilai kompaun RM7.6 juta telah dikeluarkan sepanjang tahun lalu, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Norhayati Rusli.

Menurutnya lima negeri merekodkan pengeluaran notis tertinggi iaitu Selangor dengan 6,414 notis diikuti Johor (3,095), Pahang (2,935), Perak (2,808) dan Pulau Pinang (2,725).

Beliau berkata bagi tempoh empat bulan pertama pada tahun ini pula, sejumlah 14,872 notis kesalahan merokok di premis makanan dikeluarkan membabitkan nilai kompaun sebanyak RM3.72 juta. 

"Operasi ini yang dijalankan di kawasan hotspot di seluruh negara menyasarkan tempat larangan seperti premis makan, dalam kenderaan awam atau hentian pengangkutan awam, premis kerajaan, kompleks membeli belah, tandas awam, pusat hiburan, klinik atau hospital serta kawasan rehat dan rawat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Operasi Mega Bersepadu Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Hasil Tembakau 2004 yang dijalankan di sekitar Ipoh di sini malam tadi.

Mengulas mengenai operasi berkenaan, Dr Norhayati berkata sebanyak 424 notis kesalahan di bawah Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan melibatkan kesalahan di bawah Peraturan 11 antaranya 202 notis di premis makan, kompleks beli-belah (108), kenderaan awam (34) serta premis kerajaan (28).

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menegaskan bahawa larangan merokok bukan bertujuan untuk menghukum golongan perokok tetapi ia dilaksanakan bagi mengelakkan komplikasi akibat tabiat tersebut kepada golongan perokok serta perokok pasif iaitu mereka yang berada di sekeliling perokok," katanya. - Bernama 

Advertisement