Anda di sini

175 individu, pemilik premis diberi notis, merokok di kawasan larangan

Advertisement
 Salah seorang individu yang diberikan notis selepas merokok di kawasan larangan.
OPERASI: Salah seorang individu yang diberikan notis selepas merokok di kawasan larangan.

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengeluarkan 175 notis kepada individu serta pemilik premis selepas merokok di kawasan larangan.

Ketua Sektor Inspektorat dan Perundangan Negeri Bahagian Kesihatan Awam JKNS Ramash Rasnan yang mengetuai operasi berkata kesemua notis dikeluarkan semasa pelaksanaan Operasi Mega Bersepadu bagi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 tahun ini di Sabah.

Katanya pasukan operasi menjalankan pemeriksaan terhadap 856 premis dan sejumlah 175 notis dikeluarkan kepada ketidakpatuhan terhadap peraturan ini.

“Antara kesalahan paling banyak dikesan adalah 103 kesalahan mengikut Peraturan 11 (1)(d) iaitu larangan merokok di kawasan tempat makan atau kedai berhawa dingin diikuti 40 notis di kawasan lapangan terbang mengikut Peraturan 11(1)(g).

“12 notis turut dikeluarkan kepada pemilik premis yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok di premis, kenderaan serta bangunan mengikut Peraturan 12(1)(a) manakala lapan notis di kawasan pusat beli belah mengikut Peraturan 11(1)(n).

“Tiga notis masing-masing dikeluarkan kepada pemilik premis yang gagal memastikan tiada orang merokok di premisnya serta golongan remaja belum cukup umur yang didapati merokok,” katanya semasa ditemui semasa operasi ini.

Beliau berkata notis lain turut dikeluarkan kepada individu yang merokok di kawasan kelab malam, hospital atau klinik, hentian pengangkutan awam serta seorang pemilik premis yang gagal meletakkan teks dan amaran bergambar merokok di dalam premis turut diberi notis sama.

Menurutnya setiap individu yang diberikan notis perlu membayar nilai kompaun sebanyak RM250 dan individu yang gagal melunaskan kompaun boleh dihadapkan di mahkamah dan didenda RM10,000 serta dipenjara selama dua tahun.

“Operasi yang bermula jam 7 dan berakhir pada jam 11 malam disertai keseluruhan 417 anggota termasuk 363 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 24 Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 30 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.

Beliau berkata operasi ini adalah sebagai persediaan kepada pembentangan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam yang akan dibuat pada Sidang Dewan Rakyat pada penghujung Mei tahun ini.

Katanya ini juga sebahagian strategi KKM dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kegiatan merokok di kawasan larangan dan aktiviti penjualan rokok yang tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004) yang perlu dilaksanakan secara optimum.

  • oleh
  • Advertisement