Anda di sini

10 premis diberi notis, tiada label keselamatan ST-SIRIM, penarafan cekap tenaga

Advertisement
 Md Zakuan menunjukkan label penarafan cekap tenaga yang sesuai digunakan oleh pengguna.
CEKAP: Md Zakuan menunjukkan label penarafan cekap tenaga yang sesuai digunakan oleh pengguna.
 Md Zakuan semasa menjalankan pemeriksaan terhadap peralatan elektrik di salah sebuah premis di sini.
PERIKSA: Md Zakuan semasa menjalankan pemeriksaan terhadap peralatan elektrik di salah sebuah premis di sini.

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga (ST) mengeluarkan notis kepada 10 premis yang menjual kelengkapan elektrik yang tidak mendapat kelulusan dan dilabelkan dengan label keselamatan ST-SIRIM serta penarafan cekap tenaga di sini.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan (JPOK) ST Md Zakuan Ibrahim berkata tindakan dilaksanakan semasa operasi pemeriksaan kelengkapan elektrik di sebuah pusat beli belah di Karamunsing di sini.

Beliau berkata operasi dijalankan di seluruh Malaysia secara berperingkat bagi memastikan kelengkapan elektrik yang berada dalam pasaran selamat digunakan selain menggalakkan penggunaan elektrik dengan cekap.

“Kita menjalankan pemeriksaan terhadap 11 premis dan hasil operasi mendapati 10 premis tidak mematuhi Peraturan 97, 98, 101A dan 109A Peraturan-Peraturan Elektrik 1994.

“Antara kesalahan yang paling banyak dikesan adalah menjual peralatan elektrik tanpa label keselamatan ST-SIRIM.

“Pihak penjual juga dikesan meletakkam label pada barangan yang salah contohnya label periuk nasi dilekatkan pada mesin basuh yang boleh mengelirukan pengguna,” katanya yang ditemui semasa operasi terbabit di sini.

Katanya turut serta dalam operasi ini adalah pihak Energy Commission of Sabah (ECoS) yang memberikan kerjasama dengan menyalurkan info yang berkaitan premis yang diperiksa.

Tambahnya operasi turut mendapat kerjasama pihak SIRIM yang bersama-sama memeriksa kelengkapan elektrik yang dijual di pasaran Sabah. 

Menurutnya berdasarkan Sub-Peraturan 101A(1), Peraturan-Peraturan Elektrik 1994 tanggungjawab pengilang dan pengimport kelengkapan elektrik adalah untuk memastikan kelengkapan elektrik menepati standard ujian prestasi tenaga, standard prestasi tenaga minimum dan penarafan kecekapan.

“Sehingga kini, ST mengawal selia 34 kategori kelengkapan elektrik domestik dan sembilan kelengkapan elektrik dikenal pasti memerlukan Standard Prestasi Tenaga Minimum (MEPS) sebelum permohonan Perakuan Kelulusan (COA) dari ST dikeluarkan, sebelum dikilang atau diimport mengikut Peraturan 97 dan 101A. 

“Ia juga hendaklah dilabel dengan label keselamatan serta label kecekapan tenaga sebelum dijual di pasaran negara ini,” katanya.

Tambahnya sembilan kelengkapan elektrik tersebut adalah penghawa dingin, kipas, peti sejuk, televisyen, lampu, mesin basuh, ketuhar gelombang mikro, periuk nasi dan peti sejuk beku.

“Orang ramai dinasihatkan supaya membeli kelengkapan elektrik yang mempunyai label ST-SIRIM dan label cekap tenaga dengan penarafan lima bintang bagi memastikan penjimatan maksima penggunaan elektrik dan dapat menjimatkan bil elektrik pengguna.

“Mana-mana pihak yang mengimport atau mengilang serta menjual apa-apa kelengkapan sehingga menyebabkan atau mungkin menyebabkan bahaya kepada nyawa atau anggota badan manusia atau kerosakan kepada mana-mana kelengkapan atau harta lain adalah melakukan suatu kesalahan mengikut Seksyen 37(1), Akta Bekalan Elektrik 1990.

“Sekiranya disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga tidak melebihi RM1 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau juga meminta orang ramai untuk melaporkan dan membuat aduan sekiranya mendapati terdapat kelengkapan elektrik yang tidak mematuhi kehendak keselamatan yang ditetapkan oleh ST seperti label ST-SIRIM melalui sistem eAduan ST atau menghubungi talian 03-8870 8800 atau email ke eaduan@st.gov.my.

  • oleh
  • Advertisement