MIRI: Polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM400,000 dengan tertangkapnya tiga suspek lelaki dalam serbuan di dua lokasi berasingan di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, tangkapan ketiga-tiga suspek termasuk seorang warga asing disyaki terbabit aktiviti pengedaran dadah itu dibuat sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.
“Serbuan pertama kira-kira jam 11.30 pagi dibuat di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Ulu Niah, Niah dan hasil pemeriksaan dan serbuan polis menahan seorang lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga asing masing-masing berusia 33 dan 40 tahun.
“Dalam serbuan pertama ini polis merampas satu peket plastik lutsinar dan beberapa keratan tiub straw lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 53.40 gram dan bernilai RM5,340.
“Selain itu, turut disita pada operasi yang pertama ini adalah dua utas barang kemas dengan nilai sitaan RM12,448,” katanya dalam sidang media di IPD Miri, di sini hari ini.
Selain itu Alexson memberitahu, serbuan kedua pula dibuat sekitar jam 4.15 petang di sebuah rumah kedai di Jalan Bulan Sabit, Miri dan menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun.
“Hasil pemeriksaan, polis merampas pelbagai jenis dadah disyaki methamphetamine, ketamin, ekstasi, erimin 5 dan serbuk jus disyaki dadah jenis MDMA (methylenedioxy-methamphetamine) dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM419,724.
“Selain itu, dalam serbuan kedua ini, turut disita ialah seutas barang kemas dengan nilai sitaan RM11,612.80,” ujarnya.
Oleh itu, beliau berkata jumlah anggaran keseluruhan nilai rampasan dan sitaan bagi kedua-dua kes adalah bernilai RM449,124.80.
Dalam pada itu, Alexson berkata kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula Khamis sehingga 1 Jun bagi membantu siasatan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dimana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau jika tidak dihukum mati, boleh dipenjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali sebatan,” katanya.
Alexson turut menasihati orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah untuk segera melaporkannya ke balai polis berhampiran agar aktiviti ini dapat dibendung dan dibanteras bersama.