
MIRI: Seorang lelaki warga asing didenda RM1,200 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana kesalahan merosakkan pagar rumah milik seorang wanita.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi setelah Li Dan mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Menurut keterangan kes, tertuduh yang berasal dari China dan beralamat di sebuah kondominium di Tanjung Lobang di sini didapati telah melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan pagar rumah milik seorang wanita, Th'ng Si Wen, 40.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.45 tengah malam, 24 Mei lalu di sebuah lot di RPR Pujut 8 di sini.
Pendakwaan kes dikendalikan pegawai pendakwa Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman.