MILAN: Seorang bekas pengarah untuk sebuah firma dengan tanggungjawab besar ke atas jambatan Genoa di Itali berkata pihaknya tahu tentang risiko itu lapan tahun sebelum ia roboh pada 2018 dan membunuh 43 orang.
Pada 2010 Gianni Mion merupakan pengarah urusan bagi firma perusahaan keluarga Benetton, Edizione, yang memiliki Autostrade per l’Italia (Aspi), yang dibayar oleh kerajaan untuk menguruskan jambatan Morandi.
“Dalam satu mesyuarat antara pengurus dan eksekutif, kecurigaan meningkat tentang sama ada jambatan Morandi akan terus berdiri, disebabkan satu kecacatan rekaan yang serius,” Mion memberitahu mahkamah di Genoa pada Isnin.
“Saya bertanya sekiranya terdapat pihak ketiga yang mengesahkan kestabilan jejambat. Mereka memberitahu saya bahawa mereka telah mengesahkannya sendiri. Jawapan itu menakutkan saya,” katanya, menurut laporan agensi berita Itali.
“Namun tiada sesiapa yang berfikir bahawa ia akan roboh dan kami telah diberikan jaminan mengenai perkara tersebut. Saya tidak berkata apa-apa namun saya berasa bimbang. Saya tidak melakukan apa-apa dan itu merupakan kekesalan besar saya,” Mion dipetik sebagai berkata.
Hampir 60 defendan telah dihadapkan dalam perbicaraan di mahkamah Genoa pada Julai tahun lepas, dituduh membunuh dan melemahkan keselamatan pengangkutan berhubung dengan keruntuhan jambatan di bandar barat laut Itali itu.
Jambatan Morandi roboh semasa hujan lebat pada 14 Ogos, 2018, menyebabkan beberapa kenderaan dan penumpangnya terjatuh ke dalam jurang.
Egle Possetti, yang mengetuai jawatankuasa terdiri daripada saudara mara mangsa, berkata “tidak dapat diterima” seseorang dengan jawatan Mion telah berdiam diri.
Mereka yang dibicarakan termasuk pengurus besar Autostrade pada masa itu, Giovanni Castellucci, dan Antonino Galata, bekas ketua Spea, syarikat kejuruteraan yang bertanggungjawab bagi penyelenggaraan.
Roberto Tomasi, yang mengambil alih sebagai pengurus besar Autostrade pada 2019, memberitahu mahkamah pada Isnin bahawa “tahap kemerosotan rangkaian telah semakin buruk berbanding yang dinyatakan oleh pemeriksaan Spea.”
Beliau berkata Spea tidak dianggap sebagai boleh dipercayai dan sikap segelintir pekerjanya tidak dapat diterima.
Walaupun bekas pengarah mereka dihadapkan ke perbicaraan, Autostrade dan Spea akan terlepas dari mahkamah, hasil daripada penyelesaian di luar mahkamah dengan pejabat pendakwa raya awam, yang memberikan pembayaran 29 juta euro (AS$30 juta) kepada negara. — AFP