SIRI AKHIR
Selepas berpenat lelah menamatkan misi meneroka Taman Ekstrem Gua Damai, Program Kembara Media 2023 menutup tirai di Selangor sebelum meneruskan perjalanan ke Negeri Sembilan.
Acara penutup Kembara Media di Selangor dimeriahkan dengan Majlis Ramah Mesra dan Makan Tengah Hari bersama Exco Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Selangor Borhan Aman Shah.
Biar dalam keadaan letih, namun peserta Kembara Media tetap bersemangat dalam meneruskan misi ke Negeri Sembilan kerana banyak aktiviti menarik disediakan penganjur yang menanti ketibaan para peserta.
Kuala Pilah iaitu salah satu daerah yang terkenal di Negeri Sembilan menyambut kedatangan rombongan Kembara Media 2023 dengan lawatan ke pusat penghasilan produk inovasi yang unik iaitu lemang sushi.
Perkongsian mengenai produk lemang sushi daripada pengusahanya Zuriati Sulaiman dan suami Azizi Abdul Muin bertambah menarik dengan sesi demonstrasi yang menunjukkan cara menghasilkan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) itu.
Konsep penghasilan lemang sushi diilhamkan dari makanan tradisi Jepun iaitu sushi. Selepas diinovasikan, lemang sushi dibuat dengan pelbagai inti antaranya serunding daging, ayam, ikan bilis dan paling unik inti durian.
Zuriati berkata, selain di Semenanjung, produk lemang sushi turut memasuki pasaran negara Singapura dan Brunei.
"Buat masa ini, produk kami belum memasuki pasaran Sabah dan Sarawak. Bagaimanapun, kami ada perancangan ke arah itu memandangkan stesen minyak PETRONAS di kedua-dua negeri itu ada dalam senarai kami.
"Antara tujuh jenis lemang sushi yang kami hasilkan, inti serunding rendang daging minang dan serunding daging yang paling laris di pasaran.
"Pada musim perayaan, kesemua 22 produk yang kami hasilkan boleh mencapai sehingga lebih 100,000 jumlah tempahan termasuk lemang sushi sekitar 11,000 batang dihasilkan tahun lepas," katanya.
Memasuki hari ketiga Kembara Media, lawatan peserta dimulakan dengan mengunjungi Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Jelebu bagi meninjau produk berasaskan nanas dan ladang tanaman nanas.
Para peserta berpeluang melihat sendiri cara pembuatan produk berasaskan nanas seperti biskut tart nanas serta tinjauan di ladang tanaman nanas bersama klien (penghuni) PUSPEN Jelebu.
Pengarah PUSPEN Jelebu Arzmi Abdullah berkata, Projek Nanas PUSPEN Jelebu mula dilaksanakan pada Oktober 2013 membabitkan kawasan tanah seluas 30 ekar dengan bantuan anak benih daripda Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Zon tengah Serdang Selangor secara berperingkat mengikut fasa.
Menurutnya, antara jenis tanaman nanas di PUSPEN Jelebu termasuklah nanas jenis N36, Selangor Sweet (Yankee), MD2, Moris, Crystal Honey, dan Sarawak.
"Antara produk yang dihasilkan melalui Pusat Titigold PUSPEN Jelebu adalah buah nanas, tart dan jem nanas, kek dan jus nanas, serta tart rozale dan blueberry.
"Selain itu, sejak projek ini bermula, kira-kira 458 klien terlibat dalam menjayakan Projek Nanas dan mereka berpeluang memperoleh kemahiran dan menimba pengalaman menerusi latihan yang disediakan.
"Ia sekali gus memupuk minat klien untuk menjadikan bidang pertanian sebagai terapi kepulihan, sumber ekonomi sara diri dan membantu dalam menjana pendapatan," jelasnya.
Semasa lawatan itu, peserta Kembara Media turut berpeluang menikmati kemanisan buah nanas yang segar dari ladang tanaman PUSPEN Jelebu.
Kembara di Negeri Sembilan diteruskan ke Kampung Tohor Jelebu bagi mengikuti demo audit telekomunikasi yang dikendalikan pihak Suruhanjaya Telekomunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Sebaik memasuki perkampungan Orang Asli di Kampung Tohor, para peserta disambut dengan persembahan tarian kebudayaan serta simbolik upacara adat perkahwinan Orang Asli yang diamalkan penduduk di kampung itu.
Tetamu jemputan dan peserta Kembara Media berpeluang mencuba beberapa aktiviti menarik seperti acara menyumpit, membuat anyaman dari daun kelapa serta pameran tanaman herba asli oleh penduduk kampung.
Perjalanan menuju ke Taman Negeri Kenaboi dari Kampung Tohor mengambil masa sekitar satu jam dan rombongan Kembara Media dibawa menggunakan lori Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Kesemua peserta dan urusetia begitu teruja apabila sampai ke tapak perkhemahan terutama selepas melihat kedudukan semua khemah yang dipasang di sepanjang kawasan sungai.
Taman Negeri Kenaboi menjadi lokasi penginapan terakhir peserta Kembara Media 2023 dan di sini banyak aktiviti mencabar menanti para peserta menjelang penghujung siri kembara kali ini.
Seawal pagi ketahanan fizikal semua peserta diuji dalam aktiviti 'survival' dengan merentasi kesejukan air sungai untuk menuju ke Jeram Berungut yang terkenal sebagai 'Lord of the Ring' Malaysia.
Selepas lebih satu jam meneroka rupa alam, segala kepenatan dan rasa lapar para peserta dibalas dengan hidangan masakan menggunakan buluh yang enak dan menyelerakan termasuk ubi kayu masak lemak, maggi bersama telur dan ayam bakar.
Wartawan TV Sarawak (TVS) Salasiah Safian berkata, sebagai pengalaman pertama menyertai Kembara Media, banyak perkara yang dipelajari terutama melibatkan jalinan perkenalan dengan semua rakan media dari pelbagai agensi di Malaysia.
"Ini satu pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan kerana kami dapat membuat satu jaringan dan mungkin pada masa akan datang dapat menjalin kerjasama sesama rakan pengamal media.
"Saya rasa sangat terharu walaupun baru sahaja kenal dalam beberapa hari, namun semua peserta terutama yang lebih senior saling menjaga antara satu sama lain.
"Semangat kerjasama yang ada dalam Kembara Media ini begitu memberi nilai yang tinggi untuk dimanfaatkan dalam dunia kerjaya sebagai wartawan," katanya.
Sementara itu, Jurukamera BERNAMA TV Muhammad Amiruddin Shah Mohd Nor berkata, aktiviti berkhemah di Taman Negeri Kenaboi disifatkan sebagai satu pengalaman indah antara manusia dan alam semula jadi.
Menurutnya, menginap dalam hutan belantara membuatkannya menikmati suasana tenang dan lebih menyegarkan.
"Memang 'healing' memandangkan udara sentiasa segar apabila kita berada dalam hutan belantara.
"Selain itu, tapak perkhemahan juga sangat bersih, kemas dan teratur diikuti keadaan sungainya yang segar dan selesa untuk kami pengamal media menjalankan aktiviti di Taman Negeri Kenaboi ini," jelasnya.
Amiruddin turut gembira kerana sepanjang Program Kembara Media ini semua peserta saling bekerjasama dan membantu dalam setiap aktiviti yang disediakan pihak penganjur.
Wakil pihak Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) yang juga urus setia Program Kembara Media 2023 Amirah Ahmad Salim berkata, program berkenaan diadakan untuk meningkatkan kerjasama strategik di antara jabatan kerajaan dan agensi media.
Katanya, menerusi lawatan ke kawasan pelancongan dan pusat keusahawanan, para peserta dapat membantu mempromosi serta menyebar luas maklumat berkaitan kawasan yang dikunjungi.
"Diharap penulisan berita para peserta akan menjadi penyumbang kepada sektor pelancongan di negeri-negeri yang terpilih untuk Kembara Media 2023," jelasnya.