Anda di sini

Pelajar perempuan mengaku bakar asrama sekolah di Guyana

Advertisement

Dilaporkan tidak berpuas hati setelah telefon bimbitnya dirampas

 

GEORGETOWN: Kebakaran di asrama sekolah di tengah Guyana pada Ahad lepas yang mengorbankan 19 kanak-kanak telah dimulakan oleh seorang pelajar yang tidak berpuas hati kerana telefon bimbitnya dirampas, sumber kerajaan memberitahu AFP kelmarin.

Laporan rasmi polis mengesahkan seorang pelajar perempuan telah disyaki menyebabkan kebakaran kerana telefon bimbitnya dirampas.

Pegawai kerajaan berkata suspek telah mengaku melakukan pembakaran dengan sengaja dan berada di bawah pengawasan polis di hospital daerah di pekan Mahdia.

Pihak polis sedang mendapatkan nasihat mengenai sama ada akan mendakwanya, kata pihak berkuasa.

Kebakaran pada Ahad lepas memusnahkan sebuah bangunan yang menempatkan kanak-kanak perempuan berusia antara 11-12 dan 16-17 tahun.

Selain mangsa terkorban, kira-kira 20 kanak-kanak telah dibawa ke hospital di mana dua masih dalam keadaan kritikal.

“Mereka (kakitangan sekolah) telah merampas telefon bimbit milik budak perempuan itu yang mengugut pada malam yang sama bahawa dia akan membakar bangunan dan semua orang telah mendengar kata-katanya itu,” kata pegawai tersebut, bercakap dengan syarat namanya dirahsiakan.

Pegawai kerajaan itu berkata beberapa minit kemudian budak perempuan terbabit pergi ke tandas dan menyembur racun serangga pada langsir sebelum menyalakan sebatang mancis.

Menurut pegawai itu beberapa pelajar telah menceritakan versi kejadian yang sama.

Meskipun terdapat usaha oleh beberapa pelajar untuk memadamkan  kebakaran, katanya, api itu merebak dengan cepat melalui siling papan dan kemudian memusnahkan seluruh bangunan.

“Para pelajar berkata mereka sedang tidur dan telah dikejutkan oleh bunyi jeritan,” menurut laporan polis.

“Sebaik sahaja memeriksanya, mereka melihat api dan asap dalam kawasan tandas, yang pantas merebak di dalam bangunan, menyebabkan beberapa pelajar melecur pada bahagian badan dan sesak nafas akibat terhidu asap, sementara beberapa yang lain berjaya menyelamatkan diri.”

Asrama tersebut terkunci pada waktu malam dan seorang guru memberitahu polis bahawa dalam keadaan panik dia tidak dapat menemui kunci pintu depan. Tingkap di bangunan itu dipasang palang besi yang menghalang pelajar melarikan diri melaluinya.

Laporan polis menyatakan terdapat 57 pelajar perempuan di dalam asrama, yang merupakan “sebuah bangunan konkrit satu tingkat berukuran kira-kira 100 kaki dengan 40 kaki, serta mempunyai beberapa tingkap, semuanya berpalang, dan lima pintu.” — AFP
 

Advertisement