Anda di sini

Mengintai harapan di sebalik HAWANA 2023

Advertisement
 

Media bebas, tunjang demokrasi' signifikan untuk dijiwai dan dihayati

SAMBUTAN Hari Wartawan Nasional (HAWANA) di Ipoh, Perak, hujung minggu ini bakal membawakan dimensi baharu dunia kewartawanan dan kebebasan media dalam mengharungi rempuhan era digitalisasi.

Dengan jangkaan kehadiran sekitar 1,000 pengamal media seluruh negara serta sejumlah undangan dari negara serantau, HAWANA 2023 bakal menjadi perkampungan wartawan terbesar pada dasawarsa ini.

Edisi ketiga acara tahunan ini, bermula pada 2018, menjadi platform penting bagi pengamal media di Malaysia mengetengahkan denyut nadi dan suara hati secara lantang dan terbuka tanpa ragu dan rasa pilu.

Mengangkat tema `Media bebas, tunjang demokrasi', HAWANA 2023 diharap menjadi pencetus dimensi baharu dunia kewartawanan serta kebebasan dan keselamatan media dalam erti kata sebenar.

Ini kerana era digitalisasi benar-benar menguji keutuhan serta kelangsungan dunia kewartawanan dan industri persuratkhabaran umumnya.

Secara relatif, kewartawanan warga di alam maya sosial adalah rempah-ratus cabaran dan resepi baharu hidangan media tradisional.

Landskap dan senario kewartawanan kini sudah jauh berubah, justeru perlu diadaptasi dan disesuaikan dengan persekitaran baharu di bawah horizon tanpa sempadan.

 

Sebab itu, pengamal media menantikan HAWANA 2023 dengan penuh harapan lantaran ia amat signifikan bagi menentukan kelangsungan dan hala tuju kebebasan media di negara ini.

Paling dinantikan adalah ucap tama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada acara kemuncak sambutan, kerana ia memperlihat dukungan Kerajaan Perpaduan dengan slogan Malaysia Madani terhadap aspek kebebasan dan keselamatan media.

Diharapkan akan ada khabar gembira dibawakan Perdana Menteri untuk santapan komuniti media, khususnya berkaitan cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) yang sudah lama diperjuangkan serta pembentukan Persatuan Wartawan Malaysia (PWM) sebagai payung kalangan wartawan se-Malaysia.

HAWANA 2023 dianggap amat signifikan dalam konteks kebebasan dan keselamatan media susulan kedudukan Malaysia meningkat ke tangga 73 Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 berdasarkan laporan Reporters Without Borders (RSF).

Dalam indeks berkenaan, kedudukan Malaysia meningkat 40 anak tangga dengan mencatat 62.83 mata berbanding tahun sebelumnya pada kedudukan 113 dengan 51.55 mata.

Malaysia turut menduduki kedudukan tertinggi di ASEAN, diikuti Thailand di kedudukan ke-106, Indonesia (108), Singapura (129), Filipina (132), Brunei (142), Kemboja (147), Laos (160), Myanmar (173) dan Vietnam (178).

Mengenai hal kebebasan media ini, maka tema yang diangkat untuk perhimpunan kali ini, iaitu `Media bebas dan selamat, tunjang demokrasi' amat bertepatan sekali.

Tema tersebut juga sebenarnya seiring dengan tema sambutan Hari Kebebasan Media Sedunia 2023 (World Press Freedom Day) pada 5 Mei lepas, iaitu `Membentuk Masa Depan Hak: Kebebasan berekspresi sebagai pendorong untuk semua hak asasi manusia lainnya'.

Dua sesi forum yang disediakan untuk HAWANA 2023 iaitu `Survival of traditional media in the digital era' dan `Journalism in the digital age' amat bertepatan dan cukup menarik untuk dibahaskan.

Ini kerana rempuhan dunia digitalisasi adalah antara faktor menyumbang kepada redupnya kemajuan media dan industri persuratkhabaran di seluruh dunia.

Yang penting dalam HAWANA 2023 ini adalah komitmen tinggi Kerajaan Perak serta sikap proaktif Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD)  serta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) untuk menjayakannya.

Sesungguhnya, sokongan kuat KKD menerusi Bernama dalam menjayakan HAWANA 2023 adalah cerminan pengiktirafan dan penghargaan tertinggi kerajaan kepada pengamal media di negara ini.

CHAMIL, ZAKARIA, ASRO
CHAMIL, ZAKARIA, ASRO

Dalam pada itu, tokoh media dan wartawan veteran senada menyambut HAWANA dengan semangat tinggi dan harapan besar bagi mengangkat darjat dan martabat dunia kewartawanan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Chamil Wariya, menyifatkan tema `Media bebas, tunjang demokrasi' itu mempunyai signifikan yang tersendiri untuk dijiwai dan dihayati secara mendalam oleh para wartawan.

"Hal ini kerana tema tersebut mengingatkan pengamal media bahawa tugas mereka bukan sahaja untuk melaporkan berita atau menulis rencana, ulasan dan komentar, tetapi untuk menghasilkan karya-karya kewartawanan yang berupaya untuk mendidik khalayak akan peranan mereka dalam sebuah demokrasi iaitu memberi maklumat untuk membantu mereka membuat keputusan yang bijak dalam kehidupan," katanya.

Menurutnya, peranan itu hanya boleh dimainkan jika para wartawan faham maksud kebebasan media itu sendiri yang memang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Namun, katanya, kebebasan itu tidaklah sampai pelanggaran terhadap undang-undang yang sedia.

Chamil berkata apabila disebut kebebasan media, ada dua dimensi kebebasan yang harus mereka anuti dan junjung tinggi.

"Pertama, bebas untuk memungut, memilih dan menerbitkan berita tanpa ada campur tangan dari segi politik, sosial, ekonomi serta undang-undang yang megongkong baik secara langsung atau tidak langsung.

"Kedua, kebebasan itu juga mesti menjamin tiada ancaman terhadap keselamatan dari segi fizikal dan mental," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap tema HAWANA 2023 akan membuka mata para wartawan bahawa dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia mereka beperanan menjadi jagawan untuk menyemak dan mengimbangi tiga kuasa negara yng lain – legislatif, eksekutif dan judisiari.

Katanya, ia boleh dilakukan dengan mendedahkan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam kalangan musang berbulu ayam  dalam kerajaan.

"Mereka jangan gentar melakukan pelaporan penyiasatan yang menjadi tiang seri dalam kewartawanan yang menjadi tunjang kepada demokrasi.

"Jadikanlah kewartawanan pasca HAWANA sebagai bermulanya era baharu media bebas yang benar-benar menjadi tunjang, bukan pengkhianat kepada demokrasi," katanya.

Sementara itu, Penasihat Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI), Datuk Zakaria Abdul Wahab menyifatkan HAWANA 2023 sebagai luar biasa kerana ia mendapat perhatian dan sambutan penuh daripada kerajaan dan pemain dalam industri media.

Katanya, kerajaan kini telah menunjukkan keprihatinannya terhadap peranan media sebagai pilar atau tiang keempat, selepas kehakiman, perundangan dan eksekutif dalam mengukuhkan asas kenegaraan khususnya demokrasi dan kepimpinan serta pembangunan negara.

"Media kini tidak lagi diselekehkan oleh mana-mana pihak termasuk kerajaanm malah dihormati dan disegani kerana peranannya amat besar dan diiktiraf sebagai pencetus dan pelincir kepada kemajuan dan keberkesanan pemerintahan atau pentadbiran," katanya.

Beliau berkata HAWANA 2023 mengangkat kedudukan atau martabat wartawan sebagai penyumbang dan bukannya musuh pada negara.

"Kini sumbangan wartawan mula dihargai dan peranannya dihormati oleh kerajaan dan majoriti masyarakat kecuali segelintir kelompok pihak yang melihat wartawan sebagai penghalang atau penyekat kepada kerja-kerja kepentingan peribadi mereka yang sempit dan yang merugikan negara dan rakyat," katanya.

 "Contohnya seperti wartawan mendedahkan aktiviti pembalakan haram, pencemaran alam sekitar, penyeludupan barangan dan pemerdagangan manusia, rasuah dan salah guna kuasa," katanya.

Zakaria yang juga Kolumnis UtusanTV turut menyifatkan tema `Media bebas, tunjang demokrasi' amat tepat kerana menggambarkan peranan wartawan Malaysia hari ini.

"Yang lebih afdal wartawan di negara kita hendaklah saja bukan bebas, tetapi juga selamat dan sentiasa dilindungi daripada sebarang ancaman yang boleh membahayakan diri mereka dalam menjalankan tugas," katanya.

Beliau juga berkata pihak media kini mula bersatu dan saling bekerjasama dalam memastikan nasib masa depan mereka diperjuangkan dan dipelihara.

"Usaha kini sedang dibuat untuk memastikan industri media kembali berkembang dan ceria serta kebajikan wartawan diambil berat.

"Usaha juga sedang dibuat untuk menyatukan semua wartawan dalam satu naungan persatuan yang akan dikenali sebagai Persatuan Wartawan Malaysia yang akan ditubuh sedikit masa lagi bagi menjaga kedudukan mereka," katanya.

Zakaria juga berkata Majlis Media (Media Council), iaitu badan yang akan mengendalikan urusan perundangan antara pihak media dengan mereka yang berasa dianiayakan oleh mana-mana media, sedang diusahakan untuk ditubuhkan bagi memelihara kerukunan hubungan media dengan masyarakat.

Dalam pada itu, Presiden ISWAMI Indonesia, Asro Kamal Rokan, menyifatkan edisi ketiga HAWANA kali ini memperlihatkan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil memajukan kehidupan dan kebebasan akbar Malaysia.

"Wartawan Malaysia tentu sangat berbangga hati. Pada HAWANA ini, Malaysia meraih sukses besar menempati posisi kedua indeks kebebasan media di antara 11 negara ASEAN, di atas Indonesia yang berada di posisi keempat," katanya.

Indeks kebebasan akbar dibuat RWB  menempatkan Malaysia pada peringkat 113 dari 180 negara.

Katanya, kedudukan Malaysia ini lebih baik dari Indonesia, yang berada di peringkat empat ASEAN dan peringkat 108 seluruh dunia. 

Di ASEAN, Timor Leste berada di peringkat satu dengan nilai 84,49, manakala di Filipina pada tahun 2022 di mana jurnalisnya Maria Ressa meraih Nobel Perdamain, berada di peringkat enam, di bawah Singapura.

"Kebebasan media ini tentu tidak dapat dilepaskan dari peranan pemerintah.

"Pemerintah yang prodemokrasi akan memerlukan media yang bebas mengkritik kebijakan pemerintah, sebagai masukan yang berguna. Pemerintah tidak dapat bekerja baik apabila media tidak kritis," katanya.

Asro juga menyambut baik khabar gembira akan terbentuknya Persatuan Wartawan Malaysia (PWM).

"Khabar ini hadiah besar bagi wartawan Malaysia untuk terus memperkuat peranan kebebasan media," katanya, sambil mengucapkan `Selamat Hari Wartawan Malaysia' kepada seluruh wartawan yang tidak pernah berhenti memperjuangkan kepentingan rakyat.

Advertisement