Anda di sini

Mahkamah tolak saman 12 individu hendak batalkan MA63

Advertisement
Voon bercakap kepada pemberita di luar Mahkamah Tinggi Kuching hari ini, selesai prosiding. – Gambar Chimon Upon
Voon bercakap kepada pemberita di luar Mahkamah Tinggi Kuching hari ini, selesai prosiding. – Gambar Chimon Upon

KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak saman sivil difailkan oleh 12 individu (plaintif) yang hendak membatalkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai dalam keputusannya hari ini antara lainnya berkata, kenyataan tuntutan plaintif tidak mendedahkan sebab tindakan yang munasabah.

Menurutnya juga, ini bermakna tuntutan plaintif untuk mengisytiharkan MA63 sebagai batal dan tidak sah serta Sabah dan Sarawak boleh keluar dari Malaysia adalah tidak dapat dikekalkan atau tanpa asas undang-undang.

“Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara ini. Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada Malaysia.

“Sabah dan Sarawak tidak boleh (tidak) menjadi sebahagian daripada Malaysia, tanpa pindaan yang perlu kepada Perlembagaan Persekutuan; dan pindaan itu memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 2/3 majoriti Parlimen dan persetujuan Sabah dan Sarawak.

“Mahkamah ini tidak boleh mengabaikan atau menulis semula Perlembagaan Persekutuan, dan Mahkamah ini akan bersalah kerana melakukannya (atau) membenarkan pengisytiharan yang diminta dalam saman ini,” ujar Siew.

JC Fong semasa berada di lobi Mahkamah Kuching, hari ini. - Gambar Chimon Upon
JC Fong semasa berada di lobi Mahkamah Kuching, hari ini. - Gambar Chimon Upon

Beliau kemudian memerintahkan Writ dan Pernyataan Tuntutan plaintif dibatalkan dengan kos RM10,000 bagi setiap permohonan (kerajaan Sarawak dan kerajaan persekutuan).

Terdahulu, 12 plaintif dalam kes ini yang diketuai Dorus Katam Juman@Theodorus Katan melalui peguam mereka berhujah bahawa MA63 iaitu satu perjanjian antarabangsa, telah dimeterai oleh Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak, melalui penipuan. 

Selain Dorus, 11 plaintif lain terdiri daripada Hugh Lawrence Zehnder, Nor Nyawai, Xavier Ginafah Sidop, Jemain Uji, Belayong Nyandang, Kalai Sibok, Yu Chin Lik, Chieng Kung Chiew, Changieng Mapang, Ahmad Awang Alim dan Alim@Giovanni Adlim Mideh.

Mereka menamakan kerajaan Malaysia, kerajaan United Kingdom, dan kerajaan negeri sebagai defendan. Kerajaan United Kingdom yang mempunyai imuniti berdaulat bagaimanapun enggan tunduk kepada bidang kuasa Mahkamah Malaysia.

Menurut mereka juga, perjanjian antara kerajaan United Kingdom dan Malaya itu dibuat tanpa mengambil kira suara rakyat dari kedua-dua koloni untuk memilih sama ada mereka mahu menyertai Malaysia melalui referendum.

Defendan pertama iaitu kerajaan persekutuan diwakili Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Shamsul Bolhassan, SFC Ahmad Hanir Hambaly, SFC Liew Horng Bin, Peguam Persekutuan Athina Sim, SFC Mohd Zain Ibrahim dari Jabatan Peguam Negara Persekutuan. 

Sementara defendan ketiga (kerajaan Sarawak) diwakili peguam Dato Sri JC Fong, Nicholas Bowie Buyong, Khairul Kabir Abdul Kadir dari Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak. 

Pihak plaintif diwakili peguam Voon Lee Shan, Alex Kong dan Peli Aron. 
 

Advertisement