Anda di sini

Lelaki dipenjara enam bulan kerana ugut bakar, pecah mangkuk kaca milik ibu

Advertisement
 

MIRI: Padah mengugut hendak membakar rumah dan memecahkan sebiji mangkuk kaca milik ibunya, seorang nelayan dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini.
    
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.
    
Nasserullah Basari, 28, dari Kampung Piasau Utara di sini telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
    
Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah melakukan ugutan jenayah terhadap Mariam Mohamad dengan mengugut hendak membakar rumah milik ibunya.
    
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4 petang, 21 Mei lalu di rumah keluarganya di Kampung Piasau Utara di sini.
    
Selain itu, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 425 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dengan memecahkan sebiji mangkuk kaca milik ibunya.
    
Seksyen 425 memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
    
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada masa dan ditempat yang sama.
    
Bagi kesalahan pertama dan kedua, tertuduh dijatuhi hukuman penjara masing-masing enam bulan  dan mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak.
    
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

  • oleh
  • Advertisement