Anda di sini

Hal kalimah Allah harus dibincang secara tertutup, elak kekeliruan umat

Advertisement
Anwar berucap pada Majlis Muzakarah dan Umara sempena Festival Turath Islami Selangor 2023, hari ini. - Gambar Bernama
Anwar berucap pada Majlis Muzakarah dan Umara sempena Festival Turath Islami Selangor 2023, hari ini. - Gambar Bernama

SHAH ALAM: Soal penggunaan kalimah Allah tidak seharusnya dibincang secara terbuka sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa tindakan kerajaan menarik balik semula rayuan terhadap penggunaan kalimah “Allah” dibuat selepas perkara itu dirujuk kepada pandangan mufti-mufti serta titah Raja-Raja Melayu.

Katanya hal berkenaan sudah beberapa kali dijelaskan termasuk ketika di dalam Parlimen mengenai penggunaan kalimah Allah yang dikhaskan kepada umat Islam di Semenanjung Malaysia.

“Maksudnya, umat Islam dalam Semenanjung Tanah Melayu sahaja boleh gunakan kalimah Allah untuk mengelakkan kekeliruan dan masalah dakyah agama lain, maka agama lain tidak diizinkan. Kemudian untuk Sabah dan Sarawak, ada sedikit kelonggaran dengan syarat-syarat yang ketat supaya tidak timbul kekeliruan. 

(Kalimah Allah) boleh dibahas, tetapi dalam majlis tertutup, (perbahasan mengenainya) tidak patut mengelirukan umat. Tetapi, kita (kerajaan) masih dituduh menggadaikan dan mengkhianati amanah rakyat,” katanya pada Muzakarah Ulama-Umara sempena Festival Turath Islami Selangor di sini hari ini. - Bernama 

Advertisement