Anda di sini

DUN Sabah lulus pindaan RUU Perlembagaan Negeri berkaitan anti lompat parti

Advertisement
 Hajiji (kanan) membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 pada Persidangan DUN Sabah.
BENTANG: Hajiji (kanan) membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 pada Persidangan DUN Sabah.

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 yang memperuntukkan larangan lompat parti bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Speaker DUN Sabah Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya  mengumumkan keputusan itu menerusi undi belah bahagian yang dipersetujui oleh 75 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk lima ADUN Dilantik.

Bagaimanapun undi belah bahagian bagi klausa Fasal 2 yang bertujuan memotong Fasal (7) Perkara 6 dalam Perlembagaan Negeri merekodkan seramai 61 ADUN bersetuju, 14 ADUN tidak bersetuju manakala empat lagi ADUN tidak hadir.

Terdahulu ketika membentangkannya, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, RUU berkenaan yang bertujuan meminda Perlembagaan Negeri Sabah berikutan tindakan bertukar atau lompat parti ADUN sering berlaku di negeri ini.

Katanya, perkara terbabit turut menyebabkan ketidakstabilan politik yang seterusnya mengganggu perancangan pembangunan di Sabah.

Menurutnya, kerajaan memandang serius tindakan bertukar parti yang menimbulkan banyak perdebatan dan polemik dalam kalangan masyarakat umum. 

Beliau berkata, perkara itu turut melibatkan mandat dan kepercayaan rakyat yang memilih wakil rakyat mereka di DUN.

"Saya ingin menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam penggubalan RUU ini untuk memastikan kestabilan politik dan mengelakkan negeri terus berdepan dengan krisis politik yang tidak berkesudahan.

"Pindaan undang-undang ini juga akan memberikan mesej yang jelas kepada setiap ADUN supaya berpegang teguh kepada prinsip parti yang diwakili untuk melindungi mandat rakyat yang memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada Ahli yang dipilih ketika proses pilihan raya.

"Selain itu, saya yakin RUU ini juga mampu menghentikan tindakan mana-mana ADUN yang dipilih dan dilantik daripada bertukar parti tanpa sebab kukuh atau alasan yang munasabah sekali gus memastikan kestabilan politik di negeri ini untuk suatu jangka masa yang panjang," katanya.

Hajiji berkata, RUU Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 ini mengandungi lima fasal termasuk Fasal 2 yang bertujuan memotong Fasal (7) Perkara 6 memandangkan Fasal (7) tidak lagi selaras dengan kehendak di bawah Fasal (3) Perkara 6 berikutan situasi politik semasa.

Menurutnya, mana-mana ADUN yang melepaskan keahliannya untuk bertanding semula dalam pilihan raya pada bila-bila masa selepas dia melepaskan keahliannya dalam DUN turut kehilangan kelayakan untuk menjadi ADUN bagi tempoh lima tahun tidak lagi terpakai.

"Perkara yang sama juga terpakai bagi calon Bebas menyertai suatu parti politik. Perkataan 'anggota suatu parti politik' yang disebut dalam Perkara baharu 17A hendaklah termasuk ADUN yang bukan anggota manamana parti politik yang membentuk suatu gabungan politik tetapi ialah anggota gabungan itu. 

"Seksyen baharu 17A juga memperuntukkan keadaan apabila seseorang ADUN tidak terhenti menjadi wakil rakyat di DUN," katanya. 

Beliau berkata, kekosongan luar jangka di DUN hendaklah dipastikan oleh Speaker apabila menerima notis bertulis daripada mana-mana ADUN mengenai berlakunya kekosongan itu.
 

  • oleh
  • Advertisement