
KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) Huluan kini merupakan salah satu daripada tiga pemain industri minyak dan gas terbaik di Malaysia, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Menurutnya, PETROS Huluan menjana RM450 juta pendapatan bersih selepas cukai (NIAT) pada 2022 dan merekodkan pengeluaran harian sebanyak 100,000 tong minyak bersamaan daripada bahagian ekuitinya dalam lima medan minyak dan gas Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC).
“Ia juga mempunyai bahagian ekuiti dalam 12 PSC Penerokaan dan Penilaian melalui kepentingan dibawa daripada pelabur ke Sarawak.
“Belanjawan pelaburan modal PETROS Upstream untuk tahun 2023 ialah sebanyak RM1.2 bilion,” katanya.
Awang Tengah berkata demikian dalam ucapan penggulungan bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan itu turut memaklumkan bahawa PETROS Hiliran juga berkembang pesat.
Bagi membolehkan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak membawa gas yang boleh diakses, mampu milik dan mampan ke semua bahagian Sarawak katanya, PETROS melabur dalam Loji Kuasa Kitaran Gabungan 400MW di Miri dengan kerjasama Sarawak Energy Berhad (SEB).
“Ia juga melabur dalam projek saluran paip 24 inci untuk membawa gas dari Bintulu ke Taman Perindustrian Samalaju dengan modal gabungan projek-projek tersebut dianggarkan berjumlah RM2 bilion,” ujarnya.
Selain itu katanya, PETROS juga sedang menjalankan kajian dengan pemain multinasional, untuk membekalkan gas ke Kuching seterusnya mengubah bandar raya ini menjadi hab gas dan tenaga baharu.
“PETROS sedang berbincang dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk membina loji jana kuasa gas baharu di Kuching dan untuk menamatkan loji jana kuasa arang batu sedia ada,” katanya.
Awang Tengah turut memaklumkan bahawa anak syarikat PETROS, PNiaga menyuntik pelaburan sebanyak RM60 juta dalam mengembangkan perniagaan Gas Petroleum Cecair (LPG) dengan hasrat untuk menguasai 100 peratus bahagian pasaran isi rumah bersubsidi menjelang akhir tahun.
Dalam pada itu, Awang Tengah, berkata PETROS sedang serius meneroka potensi Penangkapan dan Penyimpanan Karbon Sarawak (CCS).
Jelasnya, PETROS telah diberikan kelulusan dalam prinsip untuk lesen CCS untuk blok F di luar pesisir Sarawak bagi memulakan pengoperasian pindaan Kanun Tanah Negeri yang diluluskan oleh Dewan yang mulia ini semasa sidang DUN sebelum ini.
“Oleh itu PETROS bekerjasama rapat dengan Petronas sebagai pelabur untuk menukar medan gas M1 yang telah habis menjadi projek CCS pertama di Sarawak dengan pelaburan modal dianggarkan berjumlah RM2.5 bilion,” katanya.