Anda di sini

Kanak-kanak lelaki diserang buaya, terima lapan jahitan

Advertisement
 Anggota JHL menjalankan pemantauan di sekitar lokasi kejadian.
TINJAU: Anggota JHL menjalankan pemantauan di sekitar lokasi kejadian.

SANDAKAN: Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menerima lapan jahitan selepas diserang buaya di Kampung Batu Putih, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa berumur sembilan tahun terbabit cedera di bahagian tangan akibat digigit reptilia berkenaan.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sandakan, Hussien Muin berkata, ketika kejadian itu, kawasan rumah mangsa mengalami fenomena air pasang besar.

Katanya, mangsa bersama rakannya berenang keluar daripada rumah jiran menuju balik ke rumahnya ketika kejadian itu.

“Bagaimanapun, mangsa tiba-tiba diserang dan digigit di bahagian tangan, namun kanak-kanak terbabit sempat melawan dan berjaya melepaskan diri sebelum diselamatkan oleh bapanya.

“Mangsa terus dikejarkan ke sebuah klinik swasta untuk mendapatkan rawatan sebelum pulang ke rumahnya,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, anggota JHL kemudian datang memeriksa mangsa di rumahnya dan mendapati kanak-kanak terbabit menerima lapan jahitan dilengan sebelah kanan, cedera di bahu kanan dan kepala.

 Mangsa terima lapan jahitan di bahagian lengan kanan dan cedera di kepala.
CEDERA: Mangsa terima lapan jahitan di bahagian lengan kanan dan cedera di kepala.

Susulan itu, katanya, anggota JHL menjalankan pemantauan di sekitar lokasi kejadian selepas mendapat maklumat daripada bapa mangsa.

“Namun, tinjauan ketika air surut dilakukan, tiada kelibat buaya dilihat berhampiran kawasan tersebut,”katanya.

Hussien menasihatkan semua penduduk setempat supaya sentiasa berwaspada apabila menggunakan laluan jalan ketika air laut pasang.

“Penduduk juga diminta sentiasa memastikan anak-anak mereka tidak berada atau bermain di kawasan berhampiran sungai berkenaan bagi tujuan keselamatan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement