Anda di sini

Kadar SSL daging ternakan ruminan Sabah meningkat

Advertisement
 Peto (tengah) bersama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew (kiri) dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib (kanan) pada sidang DUN.
DEWAN: Peto (tengah) bersama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew (kiri) dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib (kanan) pada sidang DUN.

KOTA KINABALU: Kadar peratusan Tahap Sara Diri (SSL) bagi pengeluaran daging ternakan ruminan di Sabah bagi 2022 adalah sebanyak 5.26 peratus iaitu meningkat sebanyak 2.32 peratus berbanding 2.94 peratus pada 2021.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Peto Galim berkata, peningkatan itu disumbangkan dengan pelaksanaan program Pemerkasaan Ruminan Sabah, Projek Integrasi Ternakan PINTAR dan Program Pembangunan Usahawan Kambing.

Katanya, di bawah program berkenaan, sebanyak 797 ekor lembu betina import, 40 ekor lembu penjantan unggul, 1,010 ekor ternakan kambing pedaging dan bebiri import, 200 ekor kambing katjang dan 60 ekor lembu bali diagihkan kepada 51 peserta.

Menurutnya, peserta berkenaan terdiri daripada tiga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan 48 lagi kepada penternak semi komersial dan kecil seluruh Sabah untuk 2022.

"Bagi memastikan pembiakan ternakan ruminan yang berterusan dan bekalan daging yang mencukupi, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menguatkuasakan Larangan Menyembelih Lembu/Kerbau, Kambing atau Bebiri Betina pada 2021 serta Larangan Eksport Ternakan Ruminan Betina pada 4 April 2022.

"Selain itu, SSL pengeluaran susu adalah 106.58 peratus direkodkan tahun lepas dan kadar ini menurun daripada 117.02 peratus pada 2020 dan 115.63 peratus pada 2021.

"Kadar SSL yang menurun disebabkan oleh kos operasi penternakan yang semakin meningkat akibat kenaikan kos bahan mentah makanan ternakan seperti jagung dan soya di peringkat global," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Daud Yusof (WARISAN-Bongawan) mengenai peratus SSL bagi pengeluaran daging ternakan ruminan dan pengeluaran susu ternakan lembu tenusu di Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Peto berkata, peningkatan populasi dan pertambahan jumlah pelancong dalam dan luar negeri turut menyumbang kepada peningkatan jumlah permintaan terhadap susu segar.

Bagaimanapun katanya, penglibatan Sabah dalam Lembah Tenusu Borneo dijangka meningkatkan semula SSL dengan perolehan 1,500 ekor lembu tenusu dan pelbagai rancangan untuk mencari makanan ternakan alternatif yang dihasilkan secara tempatan.
 

  • oleh
  • Advertisement