Anda di sini

Ekonomi digital, ekonomi biasa sama menjelang 2030

Advertisement

Semua segmen ekonomi akan dipacu secara digital menggunakan ICT dan teknologi digital sempadan: Premier

Abang Johari diiringi pegawai kerajaan tiba di Kompleks DUN hari ini. – Gambar Muhammad Rais Sanusi
Abang Johari diiringi pegawai kerajaan tiba di Kompleks DUN hari ini. – Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Tidak akan ada perbezaan antara ekonomi digital dan ekonomi biasa menjelang 2030 susulan semua segmen ekonomi akan dipacu secara digital menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan teknologi digital sempadan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini termasuk perlombongan, pertanian dan perhutanan, pembuatan, pembinaan serta perkhidmatan.

Menurut Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu itu juga, pada akhirnya keadaan akan meningkatkan produktiviti, hasil, kecekapan dan menjana pekerjaan berkemahiran tinggi untuk kakitangan kerajaan.

“Semua perkhidmatan kerajaan akan diakses dengan mudah dan selamat secara dalam talian. Ia disokong oleh perkongsian data dan pembuatan keputusan berdasarkan data untuk menyampaikan dasar, perkhidmatan dan program yang lebih disasarkan kepada perniagaan dan komuniti.

“Peraturan akan diwujudkan untuk memastikan Sarawak mempunyai persekitaran siber yang selamat dan terjamin, selain bertenaga untuk memaksimumkan nilai digital,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Beliau menambah, semua inisiatif transformasi digital dijangka akan menyumbang kira-kira 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak berjumlah RM56.4 bilion pada 2030.

Jelasnya, ia akan mewujudkan lebih 45,000 pekerjaan baharu bergaji tinggi dengan 80 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengamalkan pendigitalan.

Dalam pada itu Abang Johari berkata, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 akan dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu Fasa 1 (2025) menguatkan kesediaan digital, Fasa 2 (2027) mempercepatkan transformasi digital dan Fasa 3 (2030) Sarawak Maju Secara Digital.

Pelan tindakan tersebut jelasnya, menyasarkan Sarawak memanfaatkan peratusan ekonomi digital global supaya mengalir ke dalam negeri melalui strategi mengembangkan aliran data rentas sempadan.

Ia katanya, dilakukan dengan menubuhkan pusat data, penyampaian perkhidmatan digital dan pelaburan langsung asing digital.

“Kita akan membina ekosistem untuk menarik industri baharu yang memberi tumpuan kepada pusat data piawaian antarabangsa, digital penciptaan kandungan dan meningkatkan inovasi digital dan keusahawanan.

“Kita mengalu-alukan sektor swasta menceburkan diri dalam ekonomi digital yang berkembang. Di bawah Pelan Tindakan Digital 2030, sektor swasta akan memainkan peranan dominan melalui teknologi sempadan seperti data besar, rantaian blok, IoT (Internet of Things), penyelesaian Kecederdasan Buatan (AI) dan teknologi mendalam.

“Pada skala yang lebih luas, ini akan membawa kesan ekonomi, kemasyarakatan dan alam sekitar yang besar kepada Sarawak,” katanya.

Abang Johari menambah, kerajaan akan terus membina infrastruktur digital yang membolehkannya meluaskan liputan dan menyediakan ketersambungan, khususnya kepada masyarakat luar bandar untuk inklusif pembangunan.

“Untuk memastikan siber Sarawak selamat, kita akan menubuhkan pasukan keselamatan siber yang berdedikasi untuk mengoperasikan fokus Rangka Kerja Keselamatan Siber mengenai tadbir urus dan pengurusan yang berkesan, perundangan dan dasar, pematuhan dan penguatkuasaan, penyelidikan, industri inovasi dan teknologi, kapasiti dan pembinaan keupayaan dan kerjasama,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement