Anda di sini

20 maut dalam kebakaran asrama sekolah di Guyana

Advertisement


Beberapa orang lagi tercedera, presiden negara itu menyifatkannya sebagai ‘bencana besar’

 Sekumpulan pegawai penyiasat dan kakitangan kerajaan memeriksa asrama sekolah yang hangus dalam kebakaran di Guyana pada Ahad lepas.  — Gambar AFP
MUSNAH: Sekumpulan pegawai penyiasat dan kakitangan kerajaan memeriksa asrama sekolah yang hangus dalam kebakaran di Guyana pada Ahad lepas.  — Gambar AFP

GEORGETOWN: Sekurang-kurangnya 20 orang maut dan beberapa yang lain tercedera pada Ahad lepas dalam kebakaran asrama sekolah di Guyana, kata kerajaan dalam satu kenyataan, dengan presiden negara itu menyifatkannya sebagai “bencana besar”.

“Ini adalah bencana besar. Ia menakutkan, ia menyakitkan,” kata presiden negara Amerika Selatan itu, Irfaan Ali, pada malam Ahad.

Angka kematian telah meningkat kepada 20 orang dan beberapa lagi tercedera dalam kebakaran di Sekolah Menengah Mahdia di tengah Guyana, menurut kenyataan kerajaan.

“Kami kehilangan banyak nyawa dalam kebakaran itu,” tambahnya. “Kami memohon supaya doa kami terus bersama dengan anak-anak tersebut, keluarga mereka dan juga masyarakat.”

Ali berkata beliau telah mengarahkan pengaturan dilakukan di dua hospital utama di Georgetown “supaya setiap kanak-kanak yang memerlukan perhatian diberikan peluang sebaik mungkin untuk mendapatkan perhatian itu.”

Pesawat persendirian dan tentera telah dihantar ke Mahdia, yang terletak kira-kira 200 kilometer di selatan Georgetown, ketika wilayah itu terjejas oleh hujan lebat.

“Lima pesawat telah berlepas ke Mahdia untuk membantu pegawai kesihatan wilayah itu dengan bekalan perubatan tambahan dan penerbangan ihsan,” menurut kenyataan kerajaan.

“Buat masa ini, tujuh kanak-kanak telah bersedia bagi penerbangan ihsan ke Georgetown.”

Sekurang-kurangnya sebuah pesawat dengan tiga orang yang dipindahkan telah tiba di Georgetown, menurut wartawan AFP.

Kerajaan berkata pihak berkuasa sedang menyokong usaha di lapangan terbang Ogle di ibu negeri untuk “menerima pesakit kritikal dan menyelaraskan satu pelan bertindak kecemasan.”

“Satu pelan bertindak perubatan berskala penuh telah dilancarkan,” tambahnya.

Natasha Singh-Lewis, seorang Ahli Parlimen pembangkang, meminta untuk siasatan mengenai punca kebakaran.

“Kami perlu untuk memahami bagaimana insiden yang paling menakutkan dan berbahaya ini berlaku dan mengambil semua langkah yang diperlukan untuk menghalang tragedi sebegini berulang lagi,” katanya.

Guyana, sebuah negara kecil berbahasa Inggeris dengan seramai 800,000 penduduk, merupakan bekas koloni Belanda dan Britain yang baru-baru ini mendapati ia memegang simpanan minyak per kapita paling besar di dunia.

Antara negara paling miskin di Amerika Selatan, kerajaan Guyana berharap penemuan itu akan membantu merangsang pembangunan pesat. — AFP

Advertisement