Anda di sini

Yusof sokong RUU Anti Lompat Parti

Advertisement
YUSOF YACOB
YUSOF YACOB


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang akan dibentangkan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Khamis ini (25 Mei 2023).


Yusof yang juga Ketua Penaja Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sindumin berkata, RUU Anti Lompat Parti itu dijangka dibentangkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).


"Sudah sampai masanya semua pemimpin perlu melihat ke arah Negeri Sabah yang baru menuju kepada kestabilan politik.  


"Ini penting untuk menarik pelaburan, pertumbuhan ekonomi, pembangunan  prasarana seperti rangkaian jalan raya, bekalan air, bekalan letrik dan kemudahan khidmat internet yang akan membawa kepada keselesaan dan kemakmuran rakyat.


"Cukup-cukup lah kita berpolitik kerana rakyat amat mengharapkan kerajaan yang stabil, kerajaan yang mengutamakan dasar membela kebajikan rakyat.


"Kita perlu kebersamaan dalam membawa negeri ini ke arah kestabilan yang jitu kerana kita masih jauh tertinggal dari aspek ekonomi, pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, elektrik, bekalan air bersih dan telekomunikasi, " katanya dalam satu kenyataan.


Tambah Yusof, kerajaan yang ada pada hari ini yang diketuai Hajiji dan diterajui oleh GRS akan terus berpadu dan kukuh dalam merealisasikan hala tuju Negeri Sabah yang lebih baik dalam masa yang singkat ini.


"Kita semestinya berlapang dada dengan apa yang telah berlaku sebelum ini kerana keadaan, ideologi dan dasar parti  dan pemimpin yang berbeda pada masa itu.


"Keadaan hari ini sudah berbeda di mana ADUN-ADUN perlu mengambil langkah bijak, berani, tegas dan bertanggungjawab kepada rakyat yang diwakili.


"Kita sudah dapat melihat kesungguhan pemimpin-pemimpin kita untuk untuk mengetepikan kepentingan peribadi tetapi lebih mengutamakan rakyat dan negeri  ini untuk  masa depan yang lebih cemerlang.


"Saya sudah semestinya akan menyokong penuh RUU yang akan dibentangkan ini demi rakyat dan Negeri Sabah, " katanya.

Advertisement