Anda di sini

Wujudkan penyelesaian jangka pendek isu bekalan air dan elektrik

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Satu penyelesaian jangka pendek perlu diwujudkan bagi mengurangkan beban rakyat khususnya berkaitan dengan isu bekalan air dan elektrik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Kapayan-PH) Jannie Lasimbang berkata, penyelesaian masalah berkenaan bukan hanya datang daripada agensi kerajaan sahaja tetapi juga daripada rakyat sendiri.

"Lebih banyak usaha harus dilakukan untuk melibatkan penduduk bagi mengurangkan penggunaan air dan membantu orang lain yang memerlukan.

"Inisiatif komuniti seperti membina air graviti dan menjaga kawasan tadahan air komuniti juga boleh menjadi cara yang baik untuk menyelesaikan isu air dan yang kerajaan sepatutnya sedia menyokong dan menyediakan peruntukan untuk tujuan tersebut," katanya ketika dalam perbahasan Ucapan Dasar Kerajaan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-16 penggal keempat di sini, hari ini.

Beliau berkata, teknologi telaga tiub juga boleh menjadi penyelesaian berbentuk jangka masa pendek. 

Menurutnya, setiap telaga ditempat sesuai mampu membekalkan air kepada 300 isi rumah.  Anggaran kos sekitar RM200,000 sehingga RM300,000 dan boleh siap dalam tempoh tiga sehingga lima bulan.

"Berkaitan isu bekalan elektrik, penyelesaian berbentuk ‘small is beautiful’, adakah kerajaan merancang memasang lebih banyak mini hidro dan solar untuk menjana elektrik di kawasan yang sesuai?  

"Saya percaya pemasangan hidro dan solar tersebut akan mengurangkan beban kepada sistem bekalan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan pembelian generator yang tidak mapan," katanya.

Selain itu katanya, penglibatan komuniti dalam pengurusan kawasan tadahan air amatlah penting.  

Beliau percaya initiatif 'Payment for Ecosystem Services' iaitu kerjasama kerajaan, badan bukan kerajaan dan komuniti di kawasan tadahan air Babagon melibatkan Kampung Kolosunan, Babagon Toki dan Tampasak adalah penting.

"Ia juga harus diiktiraf dan diguna pakai di seluruh Sabah. Saya syorkan agar kerajaan Sabah mengiktiraf ini sebagai salah satu matlamat penjagaan hutan dan tadahan air komuniti serta mempromosi initiatif tersebut secara meluas," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement