Anda di sini

Wanita Indonesia dipenjara tiga bulan kerana judi dalam talian

Advertisement
 

KUCHING: Gara-gara terlibat judi dalam talian, seorang wanita dari Tikalong, Indonesia dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Megawati, 31, mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953. 

Sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda minimum RM10,000 dan maksimum RM100,000 untuk setiap mesin judi dirampas dan boleh dijatuhi hukuman penjara tidak melebihi lima tahun. 

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali memerintahkan tertuduh untuk menjalani hukuman penjara berkuat kuasa tarikh dia ditangkap, selain memerintahkannya untuk dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia selepas selesai menjalani hukuman.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa mengendalikan mesin perjudian dalam talian pada 11 Mei lalu, sekitar jam 4.10 petang di sebuah kedai makan di J-G-2 Jalan Bako, Demak Laut Commercial Centre, Ph 2 di sini. 

Mengikut keterangan kes, pihak polis yang membuat serbuan di kedai tersebut pada hari kejadian menangkap tertuduh kerana disyaki menjalankan aktiviti judi dalam talian menggunakan telefon.

Justeru, antara barangan yang dirampas adalah sebuah telefon pintar dan wang tunai berjumlah RM477. 

Hasil siasatan kemudian mendapati tertuduh menjalankan urusan dengan mesin judi seperti dinyatakan dalam Seksyen 2 ARJT 1953 iaitu menggunakan sebuah telefon pintar sebagai kios untuk urusan mendaftar pemain atau petaruh perjudian.

Pendakwaan bagi dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang.
 

Advertisement