Anda di sini

UKKM tawar pengurangan yuran 50 peratus bagi ambilan sesi pertama pelajar

Advertisement
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick (dua, kanan) dan Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Datuk Mohd Ali Mansor (kanan) menyampaikan surat tawaran menyertai UKKM kepada Nurzaitulatika Ishak (dua, kiri) pada Pra Pelancaran Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) di Institut Koperasi Malaysia, hari ini. - Gambar Bernama
Ewon (dua, kanan) dan Ketua Pengarah IKMa Datuk Mohd Ali Mansor (kanan) menyampaikan surat tawaran menyertai UKKM kepada Nurzaitulatika Ishak (dua, kiri) pada Pra Pelancaran UKKM di Institut Koperasi Malaysia, hari ini. - Gambar Bernama

PETALING JAYA: Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) akan menawarkan pengurangan yuran pengajian sebanyak 50 peratus bagi sesi pertama pengambilan pelajar ke universiti itu pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata pengurangan yuran berkenaan merupakan hadiah pendidikan kepada 300 hingga 500 pelajar yang memasuki universiti itu pada tahun pertama.

“Program Diploma dan Ijazah Sarjana Muda bakal memulakan pengajian pada September manakala program Sarjana akan membuka tirainya Julai ini,” katanya ketika berucap pada Prapelancaran UKKM dan Rumah Terbuka Institut Koperasi Malaysia (IKMa) di sini hari ini.

Beliau berkata hadiah pengajian tersebut merupakan tanda penghargaan UKKM kepada bakal pelajarnya yang akan berperanan meningkatkan kompetensi dan profesionalisme pemimpin serta anggota koperasi di negara ini.

Beroperasi sejak 29 Mac lepas, UKKM ditubuhkan sebagai satu daripada usaha IKMa untuk memiliki sebuah institusi pendidikan tinggi swasta berkaitan keusahawanan koperasi bertaraf universiti yang pertama.

“Saya percaya dengan kewujudan UKKM, ia akan membuka satu dimensi baharu dan penting dalam membangunkan ekonomi masyarakat, negeri dan negara.

“Saya mengalu-alukan tesis dihasilkan oleh pelajar kita ini, yang boleh menjadi rujukan kepada kementerian atau agensi di bawah kementerian seperti bagaimana dapat menambah baik perkhidmatan atau inisiatif yang terkait dengan sektor keusahawanan,” katanya.

Menurut Ewon penubuhan universiti berkenaan juga akan melengkapkan peranan IKMa sebagai sebuah institusi pendidikan koperasi seperti digariskan dalam Pelan Transformasi Koperasi Malaysia serta Dasar Keusahawanan Negara.

Pada majlis itu, Ewon juga diumumkan sebagai Canselor UKKM manakala Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi K. Saraswathy pula antara pelajar pertama menerima surat tawaran meneruskan program Sarjana Pengurusan Perniagaan di universiti berkenaan. - Bernama 

Advertisement