Anda di sini

Pinda Kanun Tatacara Jenayah bagi pulangkan segera wang mangsa scam: PM

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan wang yang dirampas daripada jenayah penipuan dalam talian (scam) dipulangkan lebih awal kepada mangsa, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pindaan itu membolehkan mangsa mendapat semula dana yang dicuri dengan syarat pemberian bon disediakan sementara menunggu perbicaraan di mahkamah.

“Saya setuju ia (kes) sekarang ini akan mengambil masa, ramai (mangsa) merayu (wang dipulangkan) kerana kes (dalam) mahkamah akan berlanjutan.

“Oleh demikian, apa diputuskan adalah untuk dipinda Kanun Tatacara Jenayah supaya membolehkan pulangan (dana yang dicuri) kepada mangsa disegerakan dengan syarat bon disediakan sementara kes (di mahkamah) dijalankan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (PH-Bakri) berhubung langkah kerajaan untuk mempercepatkan proses pemulangan dana yang dicuri kepada mangsa penipuan dalam talian.

Menjawab soalan asal Hong, berhubung rancangan memanjangkan masa operasi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) ke 24 jam sehari bagi membantu mangsa penipuan, Perdana Menteri berkata kerajaan sudah bersetuju untuk melanjutkan tempoh operasi pusat itu.

Anwar berkata Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah memaklumkan kepada semua bank di negara ini agar operasi pemantauan aduan daripada pengguna mereka yang menjadi mangsa scam dibuat 24 jam sehari.

“Selain itu, ada usaha ke arah langkah automation supaya pengadu boleh ambil tindakan menghentikan pengeluaran dana dari bank mereka secara serta-merta, ini perkembangan baharu yang dilakukan BNM,” katanya.

Perdana Menteri turut memberitahu Dewan Rakyat, sebanyak 3,595 kes bagi kesalahan penipuan dalam talian disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kerajaan setakat ini mendapat pulangan wang rampasan berjumlah RM34.8 juta.

Selain itu, Anwar berkata kerajaan juga menambah dana bagi pengoperasian NSRC sebanyak RM10 juta bagi tahun ini menerusi Belanjawan 2023, serta penambahan jumlah pegawai sebagai langkah memperkasakan penguatkuasaan pusat respons berkenaan. - Bernama 

Advertisement