Anda di sini

Lelaki tempatan ditahan salah guna minyak masak bersubsidi

Advertisement
 Minyak masak bersubsidi yang berjaya dirampas dalam serbuan tersebut.
RAMPAS: Minyak masak bersubsidi yang berjaya dirampas dalam serbuan tersebut.

SANDAKAN: Seorang lelaki tempatan diberkas selepas disyaki terbabit dengan kegiatan menggunting minyak masak paket bersubsidi satu kilogram, di Jalan Gereja, Batu 9, di sini, pada semalam.

Suspek berumur 50 tahun itu ditahan sepasukan anggota Kementerian Pedagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kira-kira jam 2 petang dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor, di lokasi kejadian.

Ketua Cawangan KPDN Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, suspek ditahan bersama lebih 4,400 kilogram minyak masak yang disimpan di dalam tangki simpanan di rumah tersebut.

Katanya, sebelum serbuan dijalankan, seramai empat anggota telah menjalankan risikan kira-kira seminggu terhadap kes tersebut.

“Sebaik berjaya dikesan, serbuan segera dijalankan dan berjaya menemukan minyak masak bersubsidi dan ribuan plastik minyak yang sudah digunting di dalam rumah berkenaan.

“Suspek yang ditahan turut mengaku menjalankan kegiatan tersebut sejak dua bulan lalu,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya, modus operandi suspek adalah membeli minyak masak paket satu kilogram dalam plastik dan menyimpannya ke dalam tangki di rumah berkenaan.

“Minyak masak tersebut akan dipam ke dalam lori tangki untuk dihantar dan dijual kepada pelanggan mereka dengan harga yang lebih tinggi.

“Pelanggan suspek disyaki pihak industri yang memerlukan minyak masak ataupun dihantar ke jeti tertentu untuk diseleweng ke negara jiran,” katanya.

Azdy berkata, suspek dan semua barang rampasan termasuk minyak masak, dua pam, hos tersebut dianggarkan bernilai RM16,950.

“Siasatan berhubung kes berkenaan masih diteruskan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement