Anda di sini

Kesiapsiagaan maritim keutamaan kerajaan tangani ancaman di perairan

Advertisement
Anwar (tiga, kiri) mendengar taklimat dari Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim (dua, kiri) pada program "Fleet Review" di atas kapal KD Terengganu ketika perasmian Segmen Maritim LIMA sempena (LIMA'23 hari ini. Turut hadir, Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob (dua, kanan) Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri) dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang (kanan). - Gambar Bernama 

LANGKAWI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata soal pertahanan dan kesiapsiagaan maritim negara khususnya tentera laut menjadi keutamaan kerajaan dalam menangani ancaman di perairan Malaysia.

Katanya beliau akan melihat keperluan itu namun segala keputusan akan dibuat mengikut keupayaan negara untuk menyediakan keperluan itu.

“Malaysia adalah sebuah negara maritim. Keseluruhan perairan itu membentuk negara Malaysia. Soal pertahanan dan kesiapsiagaan maritim khusus tentera laut jadi keutamaan kita,” katanya kepada Bernama dan RTM ketika menghadiri program “Fleet Review” sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi  (LIMA ‘23) di Resort World Langkawi di sini hari ini.

Fleet Review ialah suatu acara perhimpunan kapal-kapal daripada tentera laut negara tertentu yang disaksikan oleh ketua negara dan/atau orang kenamaan awam dan tentera.  

Terdahulu sebaik tiba di sini, beliau hadir di Resort World Langkawi bagi menyempurnakan perasmian segmen maritim.

Mengulas mengenai LIMA ‘23, Perdana Menteri berkata ia mendapat sambutan yang baik dan penganjurannya cukup memuaskan.

“ Ia akan beri pulangan terutama kepada sektor pertahanan negara secara umumnya,” katanya.

LIMA ‘23 bertemakan “Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia” bermula hari ini hingga 27 Mei.

Edisi kali ini melibatkan dua kementerian iaitu Kementerian Pertahanan (Sektor Pertahanan) dan Kementerian Pengangkutan (Sektor Komersil).

Kali terakhir acara dwitahunan itu diadakan ialah pada 2019 dan ditangguhkan pada 2021 susulan pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika itu. - Bernama 

Advertisement