Anda di sini

Curi: Lelaki dipenjara sehari dan denda RM3,000

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencuri beberapa barang di dalam bangunan kilang, antaranya satu set alat rawatan kuku.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali juga memerintahkan tertuduh, Mohd Sabri Alli Napiah, 34, untuk dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda. 

Tertuduh dari Kampung Tabuan Hilir itu mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan juga denda jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang lelaki yang masih bebas didakwa mencuri tiga pasang kasut pelbagai jenama, satu set lampu laser, satu set alat rawatan kuku, wang tunai RM600 dan sebuah telefon pintar, kesemuanya milik seorang lelaki berusia 52 tahun. 

Kesalahan itu didakwa dilakukannya sekitar jam 9 malam pada 17 Mei lalu di sebuah premis kilang membaiki kenderaan terletak di Muara Tabuan Industries, Jalan Setia Raja di sini. 

Fakta kes mendedahkan pengadu iaitu pengurus kilang terbabit terlihat kelibat dua lelaki yang tidak dikenali berada di ruang dapur kilang pada malam kejadian.

Pengadu seterusnya bertindak mengejar kedua-dua lelaki tersebut dan berjaya menangkap salah seorang daripada mereka, sementara seorang lagi lelaki berjaya melarikan diri. 

Pengadu kemudian membuat laporan, sebelum menyerahkan tertuduh kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. 

Pemeriksaan dilakukan dan beberapa barangan didapati hilang sehingga membawa kepada kerugian sekitar RM900. 

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Admzei Ahmad.
 

Advertisement