Anda di sini

Curi: Jurujual wanita dipenjara enam bulan 

Advertisement
 

SIBU: Seorang jurujual wanita dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri vitamin dari sebuah farmasi, dua tahun lalu.

Majistret Oon Kork Chern menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Peggy Cho, 36, turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu di Penjara Pusat Miri.

Mengikut pertuduhan, Cho didakwa mencuri dua peket Redoxon Vita Guard Ace+ dan dua peket Seven Seas Concentrate Fish Oil berharga RM207.85.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah farmasi di Jalan Wong Soon Kai di sini pada 1 November 2020, kira-kira jam 4.15 petang.

Sehubungan itu, Cho melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman penjara dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Cho merupakan seorang ibu tunggal dalam rayuannya memberitahu beliau perlu menjaga dua orang anaknya serta bekerja sebagai jurujual.

Tertuduh mempunyai kesalahan lampau di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan turut kesal dengan perbuatannya serta berjanji tidak mengulanginya.

Dia mohon menjalani hukuman penjara itu di Penjara Pusat Miri, juga memohon kepada mahkamah untuk berjumpa dua orang anaknya berusia tujuh tahun dan dua tahun setengah.

Advertisement