Anda di sini

Acara berbasikal tidak akan digugurkan daripada SUKMA XX1 

Advertisement
Abdul Karim (duduk, dua kiri) pada sidang media di Bilik Media Kompleks DUN hari ini. Turut kelihatan (dari kanan) Rentap, Ripin dan Ting. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Abdul Karim (duduk, dua kiri) pada sidang media di Bilik Media Kompleks DUN hari ini. Turut kelihatan (dari kanan) Rentap, Ripin dan Ting. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING:  Acara berbasikal tidak akan digugurkan daripada Sukan Malaysia (SUKMA) XX1 walaupun Sarawak belum ada velodrom atau arena basikal, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

“SUKMA 2024 akan berlangsung setahun lagi, tidak ada cara yang kita boleh menyediakan velodrom untuk perlumbangan trek basikal tetapi kita tidak akan menggugurkan acara ini kerana ia terdiri daripada perlumbaan di jalan raya, basikal gunung, menuruni bukit dan BMX.

“Perlumbaan-perlumbaan ini masih akan berlangsung, mungkin kita memasukkan acara perlumbaan pecut tetapi ia tidak akan diadakan di velodrom. Ia akan dilakukan di Jalan FAC,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu dan Dr Ripin Lamat serta Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastain Ting.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, secara keseluruhannya banyak fasiliti sukan sama ada di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT), Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) atau di bahagian-bahagian lain termasuk di sekolah-sekolah perlu dinaik taraf bagi penganjuran-penganjuran acara dipertandingkan semasa SUKMA 2024 nanti.

Sementara itu ketika menyampaian ucapan penggulungannya beliau berkata, kementeriannya telah membuat perancangan komprehensif bagi menangani isu serta cabaran dikenal pasti sebagai tuan rumah SUKMA XX1.

Menurutnya SSC telah menyusun dan melaksanakan pelan penyelenggaraan pembetulan serta pencegahan secara strategik dan berfasa di hampir kesemua fasiliti sukan di negeri ini.

Beliau berkata, ia penting bagi memastikan penggunaan fasiliti-fasiliti sukan yang kondusif dan lestari sepanjang berlangsungnya SUKMA 2024, juga acara lain termasuk acara-acara sukan pada masa akan datang.

"Menjangkakan penganjuran SUKMA 2024 memerlukan satu usaha yang besar, kementerian saya telah membuat perancangan komprehensif bagi menangani isu dan cabaran yang dikenal pasti untuk memastikan acara ini berlangsung dengan jayanya," katanya.

Abdul Karim berkata, SSC menerusi Bahagian Prestasi Tinggi memfokus untuk mengaplikasikan sokongan sains sukan bagi memperkukuh kecemerlangan dan memantapkan pencapaian para atlet Sarawak dalam 32 acara dipertandingkan pada SUKMA 2024.

Menurutnya antara sukan yang menyaksikan Sarawak berpotensi tinggi meraih emas ialah tenpin boling, renang, olahraga, taekwondo, silat, menembak, memanah, lawn tennis, skuasy, bola tampar, terjun, muay thai, gimnastik, golf, angkat berat, pingpong, wushu, judo, ragbi, lawn bowls, tinju, petanque, e-sports, berbasikal dan sepak takraw.

"Dengan faktor-faktor kejayaan seperti persiapan penuh para atlet, tempat dan fasiliti dan jawatankuasa penganjuran yang cekap, kita mahu merealisasikan impian untuk muncul juara sekali lagi selepas menjulang kejayaan ini pada 1990, 1992 dan 1994," katanya.

Beliau menambah, bagi berkongsi keseronokan dan keterujaan SUKMA 2024 dalam kalangan rakyat Sarawak, lapan bahagian iaitu Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri telah dikenal pasti serta dicadangkan bagi menghoskan 32 acara sukan yang dipertandingkan.

Keputusan itu diambil selepas mengambil kira tempat serta fasiliti (sukan) termasuk tempat penginapan, logistik, pengangkutan dan sokongan komuniti setempat bagi sukan-sukan terpilih, tambahnya.

"Selain Radio Televisyen Malaysia (RTM), kita juga merancang untuk melibatkan TVS dalam mempromosikan SUKMA 2024, menemu bual atlet yang berpotensi memenangi pingat, mengendalikan program kapsul dan siaran langsung acara sukan dipertandingkan di pelbagai venue melalu pentas utama SUKMA," katanya.

Sarawak katanya, mencadangkan SUKMA 2024 diadakan pada 17 hingga 24 Ogos 2024.

  • oleh
  • Advertisement